IPOH – Polis mengesahkan kematian pelajar lelaki berusia 16 tahun ketika perlawanan ragbi di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini semalam berpunca daripada pendarahan dalaman otot pinggul kanan.
Mangsa, Muhammad Fauzan Mohd. Sulaiman merupakan pelajar daripada Sekolah Menengah Sains Johor.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, punca kematian itu diperoleh selepas proses bedah siasat dijalankan ke atas mayat pelajar itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam.
“Pada pukul 10.30 pagi semalam telah berlangsung perlawanan ragbi antara Sekolah Menengah Sains Johor dan Sekolah Menengah Sains Rembau di Padang Ragbi STAR.
“Semasa hendak masuk ke padang bagi separuh masa kedua, mangsa didapati telah rebah di hadapan khemah.
“Pegawai perubatan yang bertugas ketika kejadian telah membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan mengesyaki pelajar itu terkena sawan berikutan keadaan badannya yang mengigil dan keras,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukan perubatan telah melakukan bantuan pernafasan terhadap mangsa berikutan denyutan nadi remaja itu dalam keadaan lemah sehinggalah di bawa ke HRPB untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 11.18 pagi selepas tiba di hospital.
“Temu bual awal dengan pengadu mendapati mangsa tidak menunjukkan apa-apa tanda sakit sebelum perlawanan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE