fbpx
Orang ramai mengunjungi Hari Terbuka sempena Upang Tahun ke-40 Jubli Delima Pangkalan Udara Subang.

Pesawat Sukhoi, Hornet, helikopter Blackhawk jadi tumpuan di Pangkalan TUDM Subang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG – Orang ramai berpeluang untuk melihat sendiri kehebatan jentera udara negara menerusi Hari Terbuka Jubli Delima sempena ulang tahun ke-40 Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang yang berlangsung meriah hari ini.

Seawal pukul 8 pagi, ribuan pengunjung mula membanjiri kawasan dispersal area bagi menyaksikan demonstrasi dan pameran aset udara yang jarang dapat dilihat secara dekat oleh orang awam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM yang mencuri tumpuan apabila melakukan aksi ‘abseiling’ dalam demonstrasi menyelamat tebusan bersama Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran Hari Terbuka ini bukan sekadar acara sambutan ulang tahun, tetapi juga platform penting untuk mendekatkan TUDM dengan masyarakat.

“Penganjuran Hari Terbuka ini adalah wadah penting untuk mendekatkan TUDM dengan masyarakat. Ia bukan sahaja mempamerkan aset dan keupayaan pertahanan udara negara, tetapi juga meningkatkan kesedaran rakyat tentang peranan besar TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara Malaysia,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Pangkalan Udara Subang yang telah bertungkus-lumus menjayakan sambutan kali ini.

“Usaha yang digerakkan dengan penuh disiplin, profesionalisme dan semangat setiakawan ini wajar dicontohi,” katanya sambil berharap para pengunjung membawa pulang ilmu serta pengalaman berharga daripada program tersebut.

Antara aset udara yang menjadi tumpuan ramai ialah pesawat Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, A400M, Hawk, CN235 VIP serta helikopter Blackhawk, AW139 dan EC120B yang dipamerkan dalam segmen pameran statik.

Suasana sekitar pangkalan bertambah meriah dengan persembahan oleh Kumpulan Muzik Kesenian (Mukes) TUDM, pertunjukan Fire Fighter Show serta deretan reruai pameran dan gerai jualan yang menarik minat pengunjung pelbagai lapisan usia.

Acara itu bukan sekadar menjadi medan untuk meraikan ulang tahun ke-40 Pangkalan Udara Subang, tetapi juga simbol hubungan erat antara TUDM dan rakyat, sekali gus membuktikan komitmen pasukan udara negara mempertahankan kedaulatan ruang angkasa Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI