fbpx
Fadillah (tengah) melakukan gimik perasmian dengan menanam pokok semula pada sambutan Hari Sungai Sedunia di Padang Merbok, Taman Tasik Taiping hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Peruntukan RM5.4 bilion untuk 22 projek air di Perak – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – RM5.4 bilion telah diperuntukkan untuk 22 projek berkaitan air di Perak meliputi 20 projek sambungan dan dua projek baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek-projek dilaksanakan tersebut memastikan rakyat akan menikmati bekalan air yang lebih terjamin serta risiko bencana lebih rendah.

“Ia juga membuka peluang ekonomi baharu yang berasaskan kepada sumber air yang
lestari,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 di Padang Merbok, Taman Tasik Taiping di sini hari ini.

Beliau berkata, program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) juga merupakan salah satu inisiatif penting dalam penjagaan sungai di negara ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, program DSK bukan sekadar membina laluan, malah membina kesedaran dan rasa tanggungjawab atau sense of belonging terhadap sungai.

“DSK juga membolehkan komuniti setempat menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran.

“Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memperuntukkan RM1.05 juta untuk pembinaan DSK di Perak, termasuk di Sungai Batu Tegoh.

“Dengan adanya program DSK, lokasi ini bukan sahaja menjadi tempat riadah, malah berpotensi untuk menjana ekonomi setempat dengan pelbagai aktiviti seperti aktiviti ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai 189 lembangan sungai utama, termasuk 11 yang berada di Perak, namun semua pihak tidak boleh berbangga jika kualiti sungai tidak terpelihara.

“Laporan terkini dari Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa sebanyak 27 sungai di Malaysia masih tercemar. Statistik ini adalah peringatan dan amaran untuk kita semua,” katanya.

Menyedari cabaran ini, Fadillah berkata, (PETRA melalui JPS telah melaksana pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM).

“Pendekatan ini adalah satu usaha bersepadu yang melibatkan semua pihak berkepentingan, bertujuan untuk memastikan ketersediaan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan memulihara alam sekitar.

“Tahniah kepada Perak kerana lima Pelan IRBM telah siap dan satu lagi sedang dalam pelaksanaan. Saya berharap negeri ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain melalui pelaksanaan pelan IRBM yang mana pengurusan sungai di Perak akan lebih terancang dan efisien,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI