SEPANG – Malaysia tidak mempunyai sebarang komunikasi terus dengan pihak Israel dalam perundingan berkaitan penahanan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) berikutan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya Malaysia menggunakan pihak ketiga seperti wakil Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) bagi berhubung dengan Israel.
“Kita tidak ada komunikasi terus dengan pihak Israel kerana tidak ada hubungan diplomatik dan kita tidak buat apa-apa hubungan dengan mereka. Hubungan kita (dengan Israel) melalui pihak ketiga sahaja,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini tadi.
Mohamad berkata demikian sebagai mengulas mengenai persoalan berkaitan rundingan yang dibuat Malaysia dalam usaha membawa pulang seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika misi GSF.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya juga terputus hubungan dengan sukarelawan GSF yang ditahan Israel selepas kumpulan itu ditempatkan di dalam penjara
“Apabila mereka dalam penjara, kita terputus hubungan, komunikasi kita melalui perantara yang ada di Israel.
“Perantara kita ialah pasukan Adalah yang dilantik oleh SNCC untuk jadi penasihat undang-undang sekiranya berlaku perkara yang kita jangkakan.
“Itulah sebabnya peserta GSF telah diberikan taklimat dengan rapi apa mereka perlu buat (apabila ditahan) supaya tidak timbul provokasi,” jelasnya.
Kata Mohamad, pihaknya juga perlu menunggu dalam tempoh sehari dua untuk perwakilan berhubung dengan Israel susulan cuti di negara tersebut berikutan sambutan perayaan Yom Kippur.
“Jadi, kita tunggu sehari dua, sebab beberapa hari lepas ada perayaan keagamaan Yom Kippur di Israel.
“Mereka tutup semua, jadi kita tidak dapat berhubung. Kita harap Isnin jika pejaba buka di sana, kita dapat berhubung.
“Tetapi hubungan kita melalui wakil perantaraan itu sentiasa dalam keadaan yang amat baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE