fbpx
KYFFIN menikmati kemenangan pertama selepas dua tahun bergelar pelumba profesional apabila memenangi peringkat ketujuh LTdL 2025 dari Melaka ke Medini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

LTdL 2025: Kyffin sanggup botak demi aerodinamik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEDINI – Tidak ada perkara yang lebih manis buat seseorang atlet melainkan dapat menikmati kemenangan sulung dalam setiap sukan diceburi, lebih-lebih lagi selepas sudah sekian lama bekerja keras menjalani latihan.

Itulah yang terjadi kepada pelumba pasukan Unibet Tietema Rockets, Zeb Kyffin selepas dia meraih kemenangan profesional pertama sebaik sahaja memenangi peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Pada perlumbaan dari Melaka ke Medini hari ini dengan jarak 214.9 kilometer (km), pelumba kelahiran Britain itu memastikan kemenangan menjadi miliknya menerusi catatan masa 4 jam 37 minit 39 saat (s).

Kyffin berkata, dia berdepan banyak kesukaran sejak menjadi pelumba profesional dua tahun lalu selain melakukan beberapa pengorbanan, termasuk membotakkan kepala bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

“Saya telah melakukan banyak persediaan di rumah untuk cuaca panas. Sekarang saya tidak memiliki rambut bagi memastikan diri lebih baik dalam penyesuaian haba, laju serta sentiasa aerodinamik.

“Saya seorang pelumba yang berbadan besar, jadi pecutan atau pendakian bukanlah kelebihan. Jika saya boleh melepaskan diri seperti yang dilakukan hari ini, itu sangat menakjubkan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Mengiringi pelumba berusia 27 tahun itu di podium adalah pelumba negara yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli selaku pemenang tempat kedua serta Arvid de Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling.

Sementara itu, Kyffin juga berharap dapat mempamerkan aksi serupa pada peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur esok memandangkan ia merupakan perlumbaan terakhirnya bagi musim 2025.

“Saya sudah berusia 27 tahun dan hampir tua. Esok adalah perlumbaan terakhir saya untuk tahun ini dan belum ada rancangan bagi saingan tahun depan. Harap saya sudah pamerkan kemampuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI