MEDINI – Aksi penamat di laman sendiri nyata menjadi tonik buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli untuk mencatat keputusan terbaik pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Pada perlumbaan peringkat ketujuh hari ini dari Melaka ke Medini dengan jarak 214.9 kilometer (km), anak kelahiran Muar, Johor itu menamatkan saingan di tempat kedua, hanya dua saat di belakang pemenang, Zeb Kyffin dari Unibet Tietema Rockets.
Kemenangan itu sekali gus boleh dianggap sebagai penyelamat kepada TSG pada edisi kali ini selepas agak tenggelam dalam enam perlumbaan terdahulu, lebih-lebih lagi mereka memiliki reputasi cukup besar selaku pasukan Benua.
Aiman menyuarakan rasa bangga dan gembira dengan kemenangan tersebut, terutamanya dengan kehadiran keluarga yang setia menanti di garisan penamat bagi memberikan sokongan kepadanya.
“Alhamdulillah syukur kepada ilahi. Hari ini saya bangga kerana emak datang menyaksikan perlumbaan, biasanya dia jarang tengok. Memang nak menang hari ini kerana di Johor.
“Alhamdulilah dapat nombor dua, memang itu sasaran saya. Memang sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan yang merangkumi tiga zon pecutan itu.
Mengiringi Kyffin dan Aiman di podium selepas perlumbaan tersebut adalah pencabar jersi oren bagi gelaran Raja Pecut LTdL, Arvid de Kleijn dari pasukan Tudor Pro Cycling yang menamatkan saingan di tempat ketiga.
Sebagai rekod, kali terakhir pelumba Malaysia menjejakkan kaki ke podium adalah menerusi pelumba berpengalaman, Mohd. Harrif Saleh yang memenangi perlumbaan peringkat kelima dan ketujuh pada edisi 2020.
Sementara itu, Kyffin menyuarakan rasa teruja apabila berjaya meraih kemenangan pertama dalam karier selepas baru sahaja bergelar sebagai pelumba profesional sejak dua tahun lalu.
“Ini adalah kemenangan profesional pertama saya. Saya hanya menjadi pelumba profesional bersama pasukan ini sejak dua tahun lalu dan ia perjalanan cukup sukar. Esok adalah perlumbaan terakhir saya untuk tahun ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE