IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Johor ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pelajar dalam setiap penganjuran pertandingan melibatkan aktiviti sukan.
“Setiap kali ada kejohanan, semua persiapan untuk kecemasan telah diambil kira. Adalah menjadi sebahagian besar tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan anak-anak di atas padang.
“Bagaimanapun, kejadian seperti ini di luar jangkaan dan tidak diduga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Muhammad Fauzan Mohd. Sulaiman, 16, di Surau Al-Hamdaniah di STAR di sini hari ini.
Menurut Fadhlina, pihak kementerian menzahirkan rasa sedih dan mengakui kejadian itu memberi kesan langsung kepada semua pihak khususnya keluarga, sekolah dan pasukan terlibat.
Beliau memberitahu, keputusan membatalkan kejohanan itu juga dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa sekali gus menzahirkan rasa simpati kepada keluarga pelajar terbabit.
“Pada hari ini, kita buat keputusan untuk membatalkan semua pertandingan bagi menghormati keluarga dan juga memberi sokongan kepada mereka.
“Pertandingan ini akan tetap diteruskan pada 28 hingga 31 Januari depan. Setakat ini, semua pelajar akan pulang ke sekolah masing-masing dan kembali pada Januari untuk meneruskan pertandingan,” katanya.
Dalam pada itu Fadhlina berkata, setakat ini tiada maklumat menunjukkan pelajar terbabit mempunyai masalah kesihatan sebelum kejadian. – KOSMO! ONLINE