TAIPING – Kerajaan bercadang untuk membangunkan secara bersama Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dengan projek tebatan banjir di Sungai Samagagah di Kerian bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara cabaran yang dihadapi pelaksana projek KIGIP iaitu Permodalan National Berhad (PNB) menerusi syarikatnya SD Guthrie ialah keadaan mula bumi.
“Salah satu cabarannya adalah tanahnya agak lembut dan tempatnya juga agak rendah. Jadi kemungkinan banjir akan kerap berlaku.
“Jadi mereka (SD Guthrie) bercadang untuk melaksanakan projek benteng supaya air sungai nanti tidak akan melimpah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, berdasarkan kajian menyeluruh yang telah dilaksanakan, mereka mendapati projek benteng dicadangkan itu hanya akan menyelesaikan sebahagian sahaja masalah banjir yang akan dihadapi.
“Jadi daripada bengkel yang dilaksanakan, lebih sesuai projek ini digabungkan dengan projek yang kita cadangkan juga untuk tebatan banjir di Sungai Samagagah.
“Kita gabungkan (projek tebatan banjir Sungai Samagagah) dengan KIGIP dan kalau dapat digabungkan, ia mampu menyelesaikan isu ‘coverage’ (liputan kawasan banjir) bukan sahaja di KIGIP tetapi juga keseluruhan kawasan utara iaitu di Kerian dan sekitarnya,” katanya.
Menurut Fadillah, pihaknya masih menunggu kelulusan permohonan yang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi bagi peruntukan tambahan lebih RM400 juta bagi pelaksanaan projek tebatan banjir berkenaan.
“Ia hanya dapat diperuntukkan Rancangan Malaysia ke-13. Maknanya kita tinggi bajet yang akan datang ini diluluskan dan sebagainya barulah kita kita dapat buat.
Kalau tak pun kita akan laksanakan secara berperingkat dengan projek sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek pemindahan air Sungai Perak ke Bukit Merah akan dilaksanakan pada tahun depan.
“Kelulusan di peringkat Kabinet dah dapat, sekarang ini Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan kaedahnya sebab ia melibatkan dana daripada luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE