SEBERANG PERAI – Dua mangsa dilaporkan rentung dipercayai terperangkap dalam sebuah kereta yang terbakar dalam kejadian kemalangan di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Sungai Dua di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, identiti mangsa dipercayai pemandu dan penumpang masih belum dikenal pasti.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta. Terdapat dua mangsa rentung dalam kejadian itu.
“Operasi membawa keluar mangsa sedang dijalankan ketika ini,” katanya di sini, sebentar tadi .
Terdahulu, tular satu rakaman video di laman sosial Facebook pagi tadi yang memaparkan kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah kereta.
Lokasi kejadian merupakan laluan dua hala dan dikatakan dikenali sebagai jalan ‘roller coaster’ oleh penduduk setempat.-KOSMO! ONLINE