SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan maut selepas dihempap tiang konkrit pagar rumah dalam kejadian di daerah ini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa sedang bermain bersama kakaknya sebelum tiang pagar yang tidak kukuh tumbang lalu menghempapnya.
“Ibu mangsa segera membawa anaknya ke Hospital Tuanku Jaafar, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 malam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Rembau mendapati, punca kematian adalah kecederaan kepala akibat hentakan objek berat, manakala tiada kecederaan lain dikesan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE