fbpx
Hayati menerima lebih banyak tempahan mengurut daripada pelanggan di rumah mereka.

Hayati teroka industri penjagaan ibu berpantang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Berkongsi rezeki dengan rakan seperjuangan dalam bidang urutan dan penjagaan wa­nita selepas bersalin kini menjadi sebahagian daripada perjuangan Hayati Kapli, 39, dari Kampung Batu 7, Changkat Jong di sini.

Pengasas Mama Qaseh Spa & Confinement ini berpegang kepada prinsip bahawa rezeki yang datang dalam bidang itu adalah dari Allah, maka tidak salah baginya untuk berkongsi rezeki bersama wanita lain dalam industri sama.

Menurut beliau, biarpun usia syarikatnya baru mencecah tiga tahun, perkhidmatan ditawarkan mendapat sambutan memberangsangkan daripada warga setempat sehingga membuatkannya tidak menang tangan.

“Justeru, apabila jadual kerja mengurut serta perkhidmatan confinement lady (CL) semakin padat, saya mula mengambil pekerja sambilan yang berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang urutan serta penjagaan wanita berpantang untuk membantu menguruskan pelanggan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Hayati berkata, daripada seorang, jumlah pekerja sambilannya yang berusia antara 35 hingga 60 tahun kini mencecah lapan orang yang mana mereka membantunya menguruskan pelanggan dari Teluk Intan, Bagan Datuk, Sungkai dan Manjung.

Hayati sedang menyiapkan bahan untuk membantu meningkatkan kesihatan pelanggan yang sedang berpantang.

“Alhamdulillah, daripada pendapatan sekitar RM1,800 pada 2022, saya kini berupaya mendapat hampir RM8,000 sebulan menerusi kerja ini yang dilakukan secara dari rumah ke rumah,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Menyingkap pengalamannya dalam bidang itu, wanita ini berkata, ia bermula sejak tahun 2012 apabila mula menjual barangan berpantang menerusi online.

“Bagaimanapun, saya nekad menceburi bidang urutan dan penjagaan wanita berpantang pada 2022, sebelum meningkatkan kemahiran diri menerusi program terapi spa anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di NK Academy, Tapah pada tahun lalu.

“Selesai menjalani kursus, saya me­nerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Terapi Spa Tahap 3. Selain itu, tahun ini juga saya berjaya memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Penjagaan Ibu Selepas Bersalin,” katanya.

Hayati turut menerima manfaat daripada kerajaan negeri Perak menerusi Geran Usahawan Perak Sejatera (GeRAK) pada Ogos tahun lalu yang membolehkan beliau menerima katil dan sauna.

Katanya, bantuan yang di­terima itu dapat membantu dalam mengembangkan lagi perniagaan dan memantapkan perkhidmatan ditawarkannya kepada para pe­langgan.

Geran GeRAK di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selari dengan matlamat flagship Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN