PETALING JAYA – Penduduk Gaza terus menaruh harapan tinggi agar bantuan berupa makanan dan perubatan dapat disalurkan dunia kepada mereka biarpun Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak berjaya tiba di wilayah bergolak itu selepas ditahan tentera Israel.
Harapan tersebut diluahkan penduduk Gaza menerusi perkongsian di media sosial berhubung kezaliman rejim Zionis yang menyebabkan kehidupan mereka sengsara sehingga kini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, biarpun bantuan GSF tidak berjaya tiba di Gaza, rata-rata penduduk bersyukur apabila masih ramai masyarakat dunia cakna dengan isu di Palestin.
Seorang rakyat Palestin, Abdalkarim Ghattas memberitahu, khemah didiaminya bersama keluarga hanya 200 meter dari laut Deir al-Balah, iaitu ‘jantung’ kepada Gaza.
“Kami menunggu Sumud Flotilla dengan harapan membara. Anda adalah bot penyelamat kami, peluang terakhir kami untuk melarikan diri daripada kematian.
“Bagaimanapun kami tahu, mereka (Israel) tidak akan membenarkan anda menghubungi kami di Gaza. Tetapi anda berjaya menyebarkan ke seluruh dunia dengan kebenaran bahawa mereka tentera paling kejam di bumi,” katanya di Thread.
Seorang pelakon komedi Palestin, Mahmoud Zuaiter menerusi hantaran di Instagram menzahirkan penghargaannya kepada sukarelawan yang menjayakan misi GSF.
“Saya naik ke tempat (bangunan) tinggi dan melihat ke arah laut Gaza. Hati saya merasakan ada Sumud Flotilla datang dan memecahkan kepungan.
“Mungkin tentera Israel akan menghalang mereka untuk sampai ke sini, tapi sampai ke dalam hati kami. Kami berasa gembira kerana masih ada orang-orang di dunia ini, jauh dari kami dan mengingati kami di
Gaza. Jadi setiap masa saya melihat laut, saya boleh lihat flotila sampai,” katanya.
Seorang peguam di Gaza dikenali Abood Siam Hamad berkata, penahanan aktivis dan sukarelawan oleh tentera Israel telah dijangka penduduk Gaza.
“Saya menuju ke pantai untuk merakam detik bersejarah. Berjalan dengan linangan air mata, ini adalah impian kebebasan yang kami nantikan.
“Saya tahu semua sedang rasa berat sedih sekarang. Saya tahu rasa kecewa itu dan saya juga telah menunggu dengan penuh semangat bagi ketibaan flotila ini.
“Harapan kami rapuh dalam kegelapan. Sejak awal lagi mereka telah menyerang sukarelawan yang tidak berdaya serta menyekat sebarang talian hayat kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, KhaledMtr dalam perkongsian di Thread berkata, mereka kecewa apabila mendapat maklumat bahawa kapal sukarelawan GSF dipintas tentera Israel walaupun telah memasuki zon merah.
“Saya dan keluarga sudah duduk di pantai Gaza sejak pagi menunggu flotila. Kalau tidak datang, apa yang harus saya beritahu pada keluarga saya,” katanya.
KhaledMtr turut menzahirkan penghargaan atas keberanian pasukan flotilla itu yang sanggup mengambil risiko besar demi membawa bantuan ke Gaza.
“Saya meninggalkan pantai dengan hati yang hancur, mengharapkan sekurang-kurang satu bot akan sampai kepada kami. Mungkin ini yang terbaik, Allah lebih mengetahui.
“Terima kasih kepada kru Global Sumud Flotilla atas keberanian besar ini. Saya berdoa semoga Allah melindungi mereka, menjaga keselamatan mereka dan menjauhkan daripada sebarang bahaya.
“Saya masih berharap suatu hari nanti bot-bot Sumud Flotilla akan selamat sampai kepada kami,” katanya.
Dalam sebuah video yang dikongsikan di Thread, seorang penduduk berkata sehingga kini tiada bot yang kelihatan tiba di pesisir Gaza.
“Kami mendoakan keselamatan buat mereka yang sanggup mengambil risiko demi Gaza dan berharap agar bot-bot yang masih berlayar akan sampai kepada kami dengan selamat,” katanya.