fbpx
Kamarul Zaman ketika sidang media berkaitan perkembangan terkini FFC x TMTG di Pejabat MyCARE di Seri Kembangan, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Freedom Flotilla: Bila-bila masa saja masuk zon kuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Pelayaran misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah memasuki perairan antarabangsa di Laut Mediterranean sekali gus kurang dari 400 batu nautika untuk sampai ke pantai Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, mereka dijangka memasuki ke lautan zon kuning dalam tempoh 24 jam ini.

“Dalam tempoh masa 24 jam, mereka bila-bila masa sahaja akan masuk ke zon kuning dan dijangka ke zon merah dalam tiga atau empat hari lagi.

“Pengalaman lalu, kapal dipintas, dirampas dan diculik termasuk ketika Mavi Marmara (2010) sewaktu berada 100 batu nautika di zon merah. Jadi, bila sampai 100 batu nautika akan berjaga-jaga,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, misi kali ini memfokuskan kepada membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan dan aktivis ke Gaza yang mana kapal Conscience membawa bantuan perubatan dan makanan bayi berjumlah RM500,000.

“Kita berharap dan mendoakan, kita pun tak tahu jika dapat dan berlabuh di Gaza. Pasukan ini termasuk wartawan antarabangsa sangat diperlukan di Gaza yang mana akan berkhidmat dua hari penuh, seterusnya akan belayar pulang.

“Dengan desakan antarabangsa termasuk Global Sumud Flotilla, kita harap ada sesuatu keajaiban dan pertolongan daripada Allah untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza,” katanya.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN