LEBIH 15 tahun berjuang melawan penyakit yang paling digeruni manusia iaitu kanser dan masih kental bertahan sehingga kini, itu adalah satu pencapaian tertinggi dalam hidup figura bernama Elyana.
Sering berkongsi pengalaman dan kondisi diri kepada umum sebelum ini, namun siapa tahu wanita berusia 38 tahun itu bergelut sendirian bagi memastikan kesakitan dilaluinya tidak mengganggu kehidupan orang lain waima suami dan anak-anaknya.
Dari luaran nampak kuat dan gembira tetapi realitinya, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak terlepas walau sesaat pun daripada merasa sakit di seluruh badannya.
Bersua muka bagi memenuhi pelawaan mengisi kisah Pendedahan minggu ini, dia bukanlah sengaja untuk menghilang daripada radar dunia hiburan sebelum ini, tetapi memberi ruang dan rehat kepada dirinya daripada menjadi mangsa kecaman netizen.
“Bukan sombong enggan ditemu bual sebelum ini tetapi saya tak kuat untuk melihat komen negatif netizen, boleh menjatuhkan semangat untuk terus hidup.
“Saya tak kisah dan sanggup orang lupa tentang wanita bernama Elyana demi ketenangan jiwa.
“Orang mudah cakap saya macam-macam tetapi hakikatnya, sakit yang saya lalui tidak pernah hilang.
“Setiap saat rasa sakit seluruh badan sampai ke hari ini,” kongsi kepada HibGlam.

Ditanya sama ada kanser limfoma yang dihidapi sejak 2010 kembali aktif menyerangnya, Elyana memberitahu penyakit tersebut sentiasa ada dalam tubuhnya.
“Masih ada, dahulu memang pernah bebas kanser sekejap tapi perancangan Allah siapa tahu.
“Cuma sekarang kalau saya tengah sakit atau atas katil hospital sekali pun, tak akan kongsi lagi dalam media sosial.
“Foto kepala botak tempoh hari pun gambar lama sebenarnya, sekitar sembilan bulan lepas,” kongsinya.
Akui pemilik nama penuh Erneelya Elyana Emrizal itu ketiadaan seketika dirinya daripada media sosial juga disebabkan rasa serik mengenangkan respons negatif peminat, termasuk menuduhnya sengaja mencipta konten tentang penyakit untuk meraih simpati.
“Dahulu saya pernah berada di satu fasa ‘oversharing’, ketika itu rasa nak cerita kepada semua tentang kanser.
“Tetapi perkara itu makan diri saya semula. Macam-macam kecaman diterima, seperti sengaja buat-buat sakit dan didoakan mati.
“Jadi, saya serik dan prinsip sekarang tak perlu kongsi langsung atau hanya muat naik bila perlu,” tuturnya.

Hilang nikmat
Pernah dilabel sebagai salah seorang penyanyi yang lincah di pentas, Elyana mengakui sangat merindui kecergasan badan yang perlahan-lahan hilang diragut penyakitnya.
“Dahulu menyanyi sambil melompat pun tak penat tetapi sekarang ini, jalan sikit pun sudah letih.
“Nikmat badan sihat dan cergas itu yang saya rindui setiap hari. Kadang-kadang berdoa pun tak tahu nak minta apa sebab banyak sangat permintaan.
“Jadi, benda yang saya paling nak minta adalah nak kecergasan badan semula,” katanya lagi.
Disebabkan itu, selain meminta dipanjangkan usia, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu tidak pernah berhenti berdoa kepada Tuhan agar diberikan peluang untuk merasai semula nikmat memiliki tubuh badan yang sihat dan boleh melakukan pelbagai aktiviti tanpa batas.
“Pernah sekali, saya mimpi dapat berlari dan melompat tanpa penat.
“Rasa seronok sangat dalam mimpi itu, macam sudah lama tak rasa begitu.
“Sekurang-kurangnya terubat juga rindu nak dapat badan yang sihat,” ujarnya.
Ditanya sama ada pernah melalui fasa enggan meneruskan kehidupan, dia tidak menafikan, namun melenyapkan pemikiran negatif tersebut kerana mengenangkan dua anak perempuan yang masih kecil
“Mestilah pernah rasa, kenapa Tuhan tak ambil nyawa saya. Sakit ini buat saya rasa lemah dan penat sangat sampai cakap, ya Allah, kenapa Kau tahan nyawa aku selama ini?
“Tapi, bila membayangkan wajah dua orang anak saya, saya kena teruskan hidup sebab tanggungjawab belum selesai dan tidak boleh pentingkan diri.
“Tak akan tidak boleh bertahan sikit lagi sampai anak saya dah besar, ada orang yang boleh jaga dan disayangi macam mana saya sayang mereka,” ujarnya.

Mati rasa
Sepanjang temu bual, jelas terpancar riak wajahnya yang tidak lagi seceria dahulu seperti menyimpan 1,001 rasa dalam diri, namun tidak mampu diluahkan kepada umum.
Dedahnya, dia kini sudah berada pada tahap menjalani setiap perkara dalam hidup tanpa sebarang jangkaan dan menerima segala kemungkinan dengan berlapang dada.
“Sekarang saya sudah sampai satu tahap mati rasa. Total mati rasa ini sejak dua tahun lalu.
“Sebelum ni masih lagi berjuang dengan macam-macam usaha tetapi sekarang macam semuanya kosong.
“Dahulu bila stres, pastu tengok video lawak tapi sekarang orang buat kelakar pun saya tidak mampu gelak.
“Semua orang paling takut mati rasa sebab keyakinan untuk sembuh dan sihat sudah hilang tetapi hidup terus berjalan kerana masih diberikan kesempatan bernafas oleh Allah,” jelasnya yang mula popular menerusi lagu Niat.
Rutin hidupnya ketika ini hanya dihabiskan di rumah dan meneruskan hari-hari yang dilabelnya sebagai tidak normal, termasuk tugas sebagai ibu.
“Penyakit dan segala pergelutan emosi yang saya lalui tiada solusi tetapi cara saya ialah jangan keluar rumah.
“Sebenarnya sudah lama tak keluar rumah, tidak melepak dengan kawan-kawan dan ada sahaja alasan diberikan kalau diajak.
“Hidup menyedihkan bila perasaan itu semua hilang sebab sudah tak jumpa diri saya lagi. Karakter riang dahulu sudah tak ada,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia tetap berbangga ‘branding’ Elyana kekal diingati sehingga ke hari ini termasuk lagu-lagunya yang masih diputarkan stesen radio.
“Berkaki ayam atas pentas, rambut berwarna, gaya gelang getah hitam dan kasut jenama Converse, itu semua idea saya sendiri tanpa dirancang pun tetapi jadi ikutan ramai pada zaman itu.
“Itu semua zaman kemuncak saya termasuk drama Dunia Baru yang masih segar dalam ingatan peminat.
“Sebab itu saya sudah tak kisah orang cakap Elyana tidak relevan lagi sebab dah rasa populariti sebelum ini. Harapan saya ketika ini ialah semoga diri sendiri terus kuat sahaja,” tutupnya.
