LONDON – Chelsea kembali menemui keyakinan terbaik untuk memulihkan reputasi mereka selaku juara Piala Dunia Kelab 2025 menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di Stamford Bridge awal pagi esok.
The Blues gagal memenangi tiga aksi terakhir EPL apabila seri 2-2 dengan Brentford dan tewas 1-2 kepada Manchester United serta 1-3 di tangan Brighton selain turut dikecewakan Bayern Munich 1-3 di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum ini.
Bagaimanapun, Chelsea kembali ke landasan kemenangan apabila menang tipis 1-0 ke atas gergasi Portugal, SL Benfica yang dikendalikan oleh bekas pengurusnya, Jose Mourinho baru-baru ini.
Biarpun masih dibayangi masalah kad merah diterima pemainnya dalam tiga aksi berturut-turut, namun Chelsea tetap berkeyakinan tinggi kerana pertemuan terakhir berpihak mereka menerusi kemenangan 3-1 ke atas Liverpool pada Mei lalu.
Laungan itu disuarakan tonggak pertahanan Chelsea, Marc Cucurella biarpun menyedari mereka juga ‘tempang’ apabila turun tanpa sembilan pemain disebabkan hukuman penggantungan dan masalah kecederaan.
“Kami sudah bersedia untuk menghadapi pertarungan getir seperti ini. Saya fikir ia tidak akan menjadi muda kerana Liverpool berhak menjuarai EPL musim lalu dan permulaan mereka juga sangat positif.
“Namun, kami sentias memberikan tentangan sengit ke atas mereka sejak kebelakangan ini. Lagi-lagi apabila kami bermain di laman sendiri, jadi sudah tentu kami hanya mahukan tiga mata.
“Kemenangan akan meningkatkan keyakinan kami sebelum aksi berehat untuk tugasan antarabangsa. Pasukan kami memiliki kualiti dan bakat besar, jadi saya percaya kami boleh lakukannya,” kata bek kiri Sepanyol itu.
Trevoh Chalobah terlepas aksi kerana mengutip kad merah menentang Brighton, manakala Cole Palmer, Levi Colwill, Tosin Adarabioyo, Liam Delap, Dario Essugo, Wesley Fofana dan terbaharu Andrey Santos disahkan mengalami kecederaan.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Enzo Maresca itu menghuni kelapan dengan lapan mata selepas enam perlawanan, ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool di tangga teratas. – AGENSI