fbpx
Kanak-kanak lelaki ditemui maut akibat lemas di kawasan tali air di Kampung Alor Setol, Mukim Langgar, hari ini. - Foto MEDIA SOSIAL

Budak 13 tahun maut tergelincir dalam tali air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ditemui maut selepas tergelincir ke dalam tali air di Kampung Alor Setol dalam mukim Langgar, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa dikatakan pergi ke kawasan tersebut bersama empat rakan untuk memancing sebelum tergelincir ketika melalui kawasan tali air.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar di sebuah sekolah di Pokok Sena bersama empat rakan pergi memancing di kawasan itu sebelum dipercayai tergelincir sewaktu melalui pesisir tali air.

“Rakan-rakan mangsa cuba menyelamatkannya, namun tidak berjaya. Pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan insiden tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri khususnya pada musim hujan dan banjir.

“Ibu bapa serta penjaga juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN