SINGAPURA – Fernando Alonso mencuri tumpuan apabila muncul pelumba terpantas pada sesi latihan bebas pertama (FP1) Grand Prix Singapura di Marina Bay semalam.
Pemandu Aston Martin itu merekodkan masa satu minit 31.116 saat (s), mengatasi Charles Leclerc di tempat kedua dan juara dunia Red Bull, Max Verstappen yang sekadar ketiga.
Alonso menggunakan tayar sederhana untuk menguasai catatan, manakala majoriti pelumba lain bermula dengan tayar keras.
Separuh masa sesi menyaksikan Alonso memperbaiki catatannya sebelum Carlos Sainz sempat merampas kedudukan teratas, namun ketika tayar lembut mula digunakan, Leclerc mengambil alih dengan catatan 1:31.266s diikuti Verstappen dan Lando Norris.
Alonso membalas dengan kelajuan mantap di penghujung sesi, mencatat 1:31.116s sekali gus menutup FP1 di kedudukan teratas mengatasi Leclerc, Verstappen dan Lewis Hamilton.
“Itu permulaan yang lebih baik untuk kami berbanding beberapa GP sebelum ini. Masih ada ruang untuk diperbaiki terutama pada bahagian hadapan kereta yang sedikit sukar untuk membelok tetapi kami akan cuba perhalusi tetapan nanti.
“Saya rasa sejak pusingan pertama di FP1, kami berada di tempat yang selesa dan cepat menemui had kereta.
“FP2 sedikit terganggu dengan bendera merah, jadi sukar untuk lihat gambaran penuh, tetapi harapnya kami boleh meraih mata nanti (malam ini) ,” kata Alonso.
Oscar Piastri yang bergelut di Azerbaijan minggu lalu menunjukkan kebangkitan dengan menamatkan sesi di tempat kelima, mengatasi rakan sepasukan Norris.
Mercedes pula bermula hambar apabila George Russell hanya mampu menamatkan sesi di tempat ke-11, manakala rookie Kimi Antonelli di kedudukan ke-14, berbanding Esteban Ocon dari Haas melengkapkan kelompok 10 pelumba terpantas. – AGENSI