fbpx
AARON (kiri) dan Wooi Yik mahu memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam persiapan ke LA2028.

Aaron mula atur langkah demi LA2028

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JADUAL perlawanan yang padat tidak sesekali mengusarkan jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia yang mendedahkan dia dan beregunya, Soh Wooi Yik sanggup ‘dilenjan’ sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Beregu ranking No. 2 itu menegaskan kejohanan buat masa ini adalah ‘pelaburan’ penting untuk mendapatkan perasaan yang mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya di gelanggang latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurutnya, tekanan ketika pertarungan sebenar adalah elemen yang perlu sentiasa dirasai bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik apabila berdepan lawan di pentas antarabangsa.

“Sya perlu sertai banyak kejohanan untuk kekalkan momentum dan ‘feeling’ di gelanggang kerana perasaan kejohanan dengan latihan memang berbeza.

“Menang atau kalah itu perkara kedua, yang penting setiap kali di gelanggang saya akan beri segalanya.

“Dalam latihan, walaupun telah berikan 100 hingga 200 peratus, bila di kejohanan kadang-kadang hanya 50 peratus yang boleh keluar. Faktor gementar, tekanan perlawanan, malah lawan juga mungkin berada pada tahap terbaik.

“Di situ cabaran sebenar untuk mengatasi semua situasi. Lebih banyak kejohanan lebih baik, bukan bermakna tidak mahu menang, tetapi kemenangan bukanlah satu-satunya keutamaan buat masa ini,” katanya ketika ditemui di ABM semalam.

Juara dunia 2022 itu tidak terlalu meletakkan kemenangan sebagai matlamat utama dalam setiap kejohanan, sebaliknya mahu membiasakan diri dengan tekanan serta menguji strategi menentang pelbagai gandingan dunia.

Mengulas lanjut, Aaron mendedahkan strategi persiapan ke LA2028 telah dirangka, termasuk mula mengurangkan penyertaan pada 2027 sebagai persediaan menghadapi tempoh kelayakan Olimpik.

“Apabila kelayakan bermula, kami akan kurangkan kejohanan dan hanya memilih yang penting bagi memastikan berada di prestasi kemuncak, mengelak kecederaan serta memberi fokus penuh pada misi utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI