fbpx
EMPAT nama, Raihan, KRU, Siti Nurhaliza dan Sudirman tercatat sebagai empat penghibur tanah air paling 'outstanding' dengan penganjuran konsert yang tidak mungkin terulang impaknya oleh artis lain.

4 konsert lokal paling mega sepanjang zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKU keempat tahun 2025 bakal menghidangkan lanbakan konsert dan festival hiburan tanpa had buat pencinta muzik tanah air.

Bukan hanya penyanyi tanah air, acara yang tersusun rapi tersebut turut disertai penghibur luar negara terutama Indonesia dan Korea.

Mengimbau semula rekod penganjuran konsert mega dan paling ramai penonton, Coldplay mendahului carta apabila konsert band terkenal dunia itu Malaysia pada 2023 dihadiri lebih 75,000 penonton.

Jumlah tersebut sekali gus memintas rekod yang pernah dipegang Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi konsert solo pada 2004 dengan lebih 70,000 penonton.

Gala minggu ini menyenaraikan lima persembahan mega penyanyi tanah air yang pernah menggegarkan negara dan menjadi sebutan sehingga ke hari ini.

KRU – GenKRU pecah dua rekod

Kumpulan rap legenda KRU melakar kejayaan tersendiri dalam industri hiburan tanah air apabila konsert mega mereka, GenKRU 2025 pada Mei lalu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) dengan dua pengiktirafan serentak.

Konsert yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil itu bukan sahaja mencetus fenomena luar biasa tetapi turut meraih pencapaian luar biasa iaitu Most Show in a Single Concerts Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour.

Pengiktirafan Most Show in a Single Concerts Series diberikan kepada KRU selepas kumpulan adik-beradik Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abd. Halim itu berjaya mengadakan persembahan selama empat malam berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei.

Sementara penganjur konsert iaitu Icon Entertainment (M) Sdn. Bhd. pula menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour selepas lebih 8,000 tiket konsert tersebut habis dijual dalam tempoh satu jam selepas dilancarkan.

Bagi mengubat rindu peminat, KRU bakal muncul dengan genKRU The Finale One More Time yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November depan.

Siti Nurhaliza – 70,000 penonton

TIADA tandingan, bukan sahaja sebagai penghibur paling banyak memenangi anugerah tetapi turut mencatat rekod jumlah penonton teramai menerusi konsert solonya.

Konsert finale Siti Nurhaliza Fantasia Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 2004 merupakan konsert terbesar nasional apabila menghimpunkan lebih 70,000 penonton.

Konsert ini merupakan siri jelajah pertama melibatkan 15 lokasi di seluruh Malaysia dan jumlah keseluruhan penonton yang hadir lebih dari sejuta penonton.

Konsert tersebut juga diadakan empat bulan selepas Siti melancarkan album ke-10, Prasasti Seni.
Penyanyi nombor satu negara itu turut melakar satu lagi kejayaan apabila acara Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall London pada 1 April 2005 berlangsung dengan jayanya.

Konsert tersebut bersempena ulang tahun ke-10 penglibatannya dalam bidang muzik. Siti juga bakal mengadakan sebuah lagi konsert berskala mega pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meraikan 30 tahun sebagai anak seni.

Raihan – Nasyid ke persada dunia

Fenomena Raihan pada era 1990-an membuktikan irama nasyid mampu menembusi sempadan dunia.

Lebih membanggakan, Raihan menjadi kumpulan nasyid pertama Malaysia beraksi di Royal Albert Hall, London selepas Sudirman dan Siti Nurhaliza.

Mereka juga pernah diundang Ratu Elizabeth II untuk menjayakan persembahan di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Edinburgh, Scotland.

Manakala di Malaysia, Konsert Garis Masa Raihan menjadi persembahan terbesar mereka yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Februari 2023.

Acara tersebut diadakan sempena sambutan 27 tahun penubuhan kumpulan itu dan merupakan konsert berskala besar pertama mereka tanpa penyertaan bekas penyanyi utama, Nazrey Johani.

Sudirman – Konsert Chow Kit Road

Tahun 1986 menjadi detik bersejarah apabila Allahyarham Sudirman menggegarkan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Dengan pentas terbuka di tengah jalan raya, lebih 100,000 penonton hadir menyaksikan persembahan penghibur nombor satu Asia itu.

Paling manis, konsert tersebut menghimpunkan penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang kaum.

Acara mega tersebut turut direkodkan dalam Malaysian Book Of Records (MBR) sebagai konsert gergasi jalanan percuma terbesar yang pernah diadakan di Malaysia ketika itu.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI