PUTRAJAYA – Seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) akhirnya bebas selepas kumpulan itu dilaporkan telah bergerak ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel untuk ke Istanbul, Turkiye semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kumpulan aktivis Malaysia itu akan menaiki pesawat khas yang dari Turkiye yang akan menerbangkan mereka ke Istanbul.
“Dan Alhamdulillah, 23 rakyat Malaysia sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dengan pesawae khas dari Turkiye yang mengangkat mereka ke Istanbul
“Rundingan saya dengan pihak Ketua Risikan Malaysia yang berada di Ankara sekarang untuk selaras secara bersama dengan Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di Ankara, lebih baik mereka menginap di Istanbul satu setengah hari.
“Ia untuk siasatan kesihatan dan akibat trauma serta tekanan dengan rejim zalim, Israel juga telah bertindak agak keras dengan mereka.
“Saya setuju mereka akan pulang mungkin pada esok malam (malam hari ini) atau lusa (Isnin). Itu kita sedang atur, tetapi sekarang kita dapat berita yang sangat menyenangkan,” katanya menerusi siaran langsung Facebook miliknya yang disiarkan semalam.
Terdahulu, Anwar menjelaskan beliau telah mendapat persetujuan daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berhubung perkara berkenaan melalui Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Turkiye.
“Mereka sedang menguruskan perkara itu melalui kerjasama penuh kerajaan Turkiye. Semalam saya juga sebut bahawa langkah ini ialah langkah menyusul rundingan diplomatik yang agak panjang.
“Ia termasuk ( rundingan diplomatik) bersama Kementerian Luar, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, kerajaan Jordan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan wakil khas Presiden Donald Trump,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, rundingan diplomatik itu turut dilaksanakan bersama Emir Qatar selain Perdana Menteri Qatar dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Turkish yang mana dilihat sudah ada persetujuan.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan berpendapatan semua 23 aktivis Malaysia yang ditahan Israel perlu menandatangani arahan pengusiran bagi membolehkan mereka dibawa pulan.
“Semalam, tiga daripada anak-anak kita rakyat Malaysia agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
“Tetapi pendapat kita adalah untuk mereka bersetuju dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara untuk mengajak mereka semua pulang dan susun strategi berikutnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE