BESUT – Seramai lebih 2,000 pegawai dan anggota pasukan keselamatan Terengganu telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir menjelang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka pada hujung bulan ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, semua agensi terlibat telah menjalani latihan bersama persediaan menghadapi banjir.
“Ia melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
“Saya sebagai Komandan Operasi Majlis Pengurusan Bencana Negeri Terengganu akan memanggil mesyuarat penyelarasan melibatkan semua agensi penyelamat berkenaan pada masa terdekat,” katanya di Taman Persiaran Limbungan di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan taman perumahan terbabit menjadi taman angkat ke-11 Amanita Terengganu.
Mohd. Khairi berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kerja-kerja penyelamatan dan pemindahan penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS) diwartakan.
Beliau berkata, berdasarkan ramalan awal, semua lapan daerah di Terengganu dijangka akan terjejas banjir pada tempoh MTL tahun ini.
“Kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan cuaca masa ini sentiasa berubah-ubah,” katanya. – KOSMO! ONLINE