fbpx
Dari kiri, Pengerusi MBSB Berhad, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Syed Azman; Rafe Haneef; dan Pengarah Weststar, Syed Muhammad Azni Syed Azman pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MBSB dan Weststar hari ini. FOTO: SYAKIR RADIN

Weststar meterai pembiayaan RM1.3 bilion bersama MBSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG – The Weststar Group (Weststar) memuktamadkan pembiayaan Islam bersindiket berjumlah RM1.3 bilion bersama MBSB Bank Berhad bagi membantu usaha syarikat meluaskan perniagaannya melangkaui perkhidmatan logistik udara luar pesisir.

Ia sebahagian daripada pembiayaan Islam bersindiket dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4.8 bilion yang turut disertai empat bank utama lain iaitu Maybank, Bank Pembangunan, Bank Rakyat dan AmBank, dengan MBSB IB menjadi pembiaya terbesar.

Ketua Pegawai Kumpulan Eksekutif MBSB Group, Rafe Haneef berkata, pembiayaan berkenaan meliputi tiga tranche, iaitu tranche pertama adalah untuk pembelian helikopter bagi memenuhi kontrak kerajaan.

“Kedua adalah untuk kegunaan modal kerja, manakala tranche ketiga bagi menangani risiko kadar tukaran asing.

“Ini merupakan kali pertama kami mengeluarkan pembiayaan melebihi RM1 bilion, yang mana MBSB memperuntukkan sejumlah RM5.7 bilion untuk pembiayaan dalam sektor pengangkutan, dengan industri aeroangkasa sebagai antara pemacu utama pertumbuhan.

“Ia bukan mudah, kami melalui banyak mesyuarat dengan Lembaga Pengarah untuk meluluskan pembiayaan ini dan ia turut mencerminkan rekod prestasi Weststar yang kukuh,” katanya pada majlis pertukaran dokumen kerjasama di Weststar Aviation Services, Hangar 75, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Subang hari ini.

Terdahulu, kerajaan telah memeterai kontrak pajakan bernilai RM16.5 bilion dengan Weststar Aviation Sdn. Bhd. untuk menyewa 28 buah helikopter bagi tempoh 15 tahun untuk kegunaan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi kerajaan lain.

Alasan pajakan tersebut antara lain ialah bagi mengurangkan beban tabung negara dan menjimatkan kos penyelenggaraan serta pembaikan, selain membolehkan kerajaan mendapatkan helikopter secara pantas bagi meingkatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan ATM.

Perjanjian konsesi itu turut melibatkan pembangunan hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka serta pusat latihan untuk juruterbang helikopter yang dianggarkan bakal mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Datuk Seri Syed Azman Syed Ibrahim berkata, pembangunan hab penerbangan di Melaka tidak hanya akan memberi perkhidmatan kepada industri aeroangkasa negara, malah untuk seluruh rantau ini.

Jelasnya, keperluan untuk juruterbang helikopter terlatih misalnya, dilihat amat kritikal ketika ini disebabkan kos yang tinggi dan fasiliti latihan yang terhad.

“Kami memiliki perkongsian dengan Leonardo Helicopters dari Itali untuk mewujudkan fasiliti latihan simulasi. Dalam industri helikopter, peraturan memerlukan juruterbang menjalani latihan sekurang-kurangnya setahun sekali manakala bagi kami dalam sektor minyak dan gas, dua kali setahun.

“Dalam latihan, simulasi dibuat bagi melatih keupayaan juruterbang berdepan keadaan mencabar, misalnya helikopter mengalami kegagalan hidraulik sewaktu penerbangan, atau enjin terbakar. Kos mesin simulator ini lebih tinggi berbanding helikopter sebenar.

“Kini untuk Leonardo, hanya ada dua pusat latihan di dunia, kedua-duanya di Eropah jadi kita perlu menunggu untuk tempoh berbulan lamanya.

“Dengan penyediaan fasiliti di Malaysia, bukan sahaja juruterbang tempatan, malah dari Jepun, Korea, China dan seluruh Asia Tenggara akan datang ke Melaka untuk latihan simulator,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya kini dalam fasa perbincangan peringkat terakhir dengan Kerajaan Negeri Melaka untuk proses pemindahan tanah bagi pembangunan hab penerbangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI