PETALING JAYA – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menuduh aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla sebagai pengganas selain membawa bahan kimia.
Menerusi video tular di media sosial, Ben-Gvir hadir di hadapan aktivis dan sukarelawan yang ditahan oleh tentera Zionis Israel, malah dia turut memasuki salah satu kapal serta menuduh kononnya terdapat bahan kimia di situ.
“Mereka adalah pengganas kepada polis, mereka pengganas, pembunuh. Mereka tidak datang untuk bantu polis, tiada rasa cinta. Gaza, mereka komuniti pengganas, tempat perlindungan pengganas.
“Ada CEO (ketua pegawai eksekutif) di sini, komando perisikan. Mereka dakwa bawa bantuan kemanusiaan, tapi ada satu kargo kontena di sini. Seperti dimaklumkan oleh CEO, nampak seperti bahan kimia.
“Apa jenis bahan kimia yang mereka ada di sini. Bukan bantuan dan bukan juga misi kemanusiaan,” katanya pada video berkenaan.
Bagaimanapun, sewaktu Ben-Gvir menuduh aktiviti dan sukarelawan Global Sumud Flotilla sebagai pengganas, mereka tidak gentar serta melaungkan ‘Free Free Palestine’ (Palestin bebas).
Video berkenaan turut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang memaklumkan kelihatan penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah serta aktivis dan sukarelawan Malaysia di situ.
“Saat 0.06 tu nampak macam Kakja, Ika (The Helmis) dan geng-geng kitalah dalam video tu. Semangat depa tinggi, masa ditangkap pun cukup gagah dan reda.
“Kakja dan Ika khususnya, dua peserta akhir yang Sumud Nusantara pilih untuk menyertai flotila sebab depa sanggup lari dari Madinah untuk turut serta,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, video berkenaan merupakan propaganda Israel untuk memperlihatkan aktivis dan sukarelawan sebagai pengganas.
“Pertama sekali kita tak kongsi video ni sebab percaya propaganda mereka, tapi sebab kasihan pengganas Ben Gvir ni try hard (bersungguh-sungguh) betul nak bagi nampak peserta pula macam pengganas. Bila peserta mula laung ‘Free Free Palestine’ terus cut (potong) video.
“Kedua dia kata ada satu saja kotak bantuan, padahal pasukan Sumud Nusantara yang beli, pek dan agih bantuan untuk dibawa dalam majoriti kapal dan kita dah tunjuk video di media sosial kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE