PETALING JAYA – Aktivis dan sukarelawan bagi misi Freedom Flotilla Coalition yang kini sedang dalam pelayaran ke Gaza, Palestin, dijangka tiba ke tempat tersebut pada esok sekiranya tiada aral melintang.
Peserta Freedom Flotilla Coalition, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, pada masa ini kesemua mereka sedang belayar di Laut Mediterranean melibatkan aktivis dan sukarelawan pelbagai negara.
“Seramai lapan peserta dari Malaysia dan insya-Allah ikut laporan dan maklumat daripada kapten, kami melajukan pelayaran. Dijangka kalau tak ada aral melintang, esok akan sampai ke Gaza.
“Sepatutnya tiga hari lagi, tetapi apabila berlaku insiden terhadap Global Sumud Flotilla yang ditangkap dan ditawan, kami meneruskan pelayaran dengan tambah kelajuan sedikit untuk tamatkan tekanan momentum ke atas Israel,” katanya pada video dimuat naik hari ini.
Beliau berkata, beberapa bot yang lebih kecil juga digunakan pada pelayaran misi Freedom Flotilla Coalition.
“Hari ini Jumaat, ikut kelajuan sampai esok (Gaza). Kalau ada koordinasi perlu dilakukan, kami akan sampai lusa di Gaza. Doakan kami,” katanya.
Mohd. Afandi menyertai pelayaran Freedom Flotilla Coalition yang kini sedang berusaha menembusi sekatan laut Israel bagi menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza.
Sebelum ini, beliau merupakan bekas peserta misi flotila ke Gaza pada 2018 iaitu aktivis tunggal mewakili Malaysia menyertai misi ‘Right to A Just Future for Palestine’ pada waktu itu.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, sebanyak 11 lagi kapal sedang belayar menuju Semenanjung Gaza bagi mencabar sekatan Israel yang berlarutan selama bertahun-tahun, menurut pertubuhan antarabangsa Freedom Flotilla Coalition.
Menerusi satu dalam kenyataan, dua bot yang mengibarkan bendera Itali dan Perancis berlepas dari Otranto, Itali pada 25 September dan disertai kapal Conscience pada 30 September.
Kapal-kapal berkenaan dijangka bergabung dengan satu lagi konvoi lapan bot, “Thousand Madleens to Gaza”. Kedua-dua kumpulan itu akan membentuk konvoi 11 kapal menuju Gaza. – KOSMO! ONLINE