HULU TERENGGANU – Ibu aktivis kemanusiaan, Muhammad Abdullah,32, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK) yang dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) berharap anaknya keselamatan anaknya.
Nooraini Mamat,59, berkata, biarpun, UMK pernah meluahkan hasrat untuk mati syahid di bumi Gaza, Palestin, dia tetap mendoakan agar anak keempatnya dari enam beradik tersebut kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat pada masa terdekat.
“Sebelum berangkat menyertai misi tersebut, dia (UMK) pernah meluahkan impian untuk berjuang membantu rakyat Gaza dan tidak menolak kemungkinan syahid di sana.
“Sejak hari pertama dia berangkat, saya tidak putus berdoa semoga Allah sentiasa memelihara keselamatanya. Saya juga tawakal dan reda dengan sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Kampung Kuala Dura, di sini hari ini.
Noorani berkata, sebelum dia dan keluarganya sentiasa memantau perkembangan semasa GSF melalui media sosial.
Katanya, selain itu, dia juga berhubung dengan UMK yang juga pengasas Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran setiap hari sehinggalah anaknya itu ditahan IDF semalam.
“Kali terakhir kami berhubung pada awal pagi semalam melalui (aplikasi) WhatsApp. Dia minta saya mendoakan keselamatannya, katanya doa seorang ibu mustajab.
“Dia baru kali pertama ke Gaza dan menyertai GSF menerusi badan bukan kerajaan (NGO), Iman Care. Begitupun, sebelum ini, dia sudah terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan termasuk ke Syria, Kemboja serta Sabah,” katanya. -KOSMO! ONLINE