IPOH – Tiga lelaki ditahan selepas kegiatan mereka mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Pasir Puteh tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 40 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di sekitar Ipoh dan Chemor.
Katanya, berdasarkan semakan, kesemua lelaki warga tempatan itu mempunyai rekod bersabit kes jenayah dan narkotik.
“Pihak polis mengesan video tular itu semalam yang memaparkan kegiatan sekumpulan lelaki dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan Pasir Puteh.
“Semakan mendapati, laporan polis telah dibuat pada hari sama oleh pihak TM berhubung kehilangan kabel sepanjang 30 meter selepas pemeriksaan dijalankan di Jalan Batik 6, Pasir Kuning di Pasir Puteh,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan soal siasat awal, ketiga-tiga lelaki itu mengaku terlibat di dalam kes yang sedang disiasat.
Katanya, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- KOSMO! ONLINE















