SINGAPURA – Kerajaan Singapura akan menghentikan pendaftaran kenderaan baharu berkuasa petrol bermula tahun 2030, lapor portal berita VnExpress semalam.
Ia sekali gus mempercepatkan rancangan untuk menamatkan penggunaan semua kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040 dan menggalakkan peralihan kepada pengangkutan tenaga bersih.
Jumlah kenderaan elektrik di Singapura meningkat daripada 26,200 unit pada akhir tahun lalu kepada 39,800 setakat tahun ini, peningkatan sebanyak 52 peratus.
Peralihan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat kereta mengenai kehilangan nilai budaya dan emosi enjin petrol.
Ia juga mencetuskan persoalan mengenai infrastruktur pengecasan dan penggunaan berterusan kenderaan petrol untuk perkhidmatan kecemasan.
Pakar-pakar juga memberi amaran bahawa perubahan ini akan mengganggu industri stesen minyak.
Keadaan itu berlaku kerana banyak stesen minyak berkemungkinan tidak lagi menguntungkan atau memerlukan penyesuaian besar.
Mereka turut menekankan bahawa pengecasan perlahan sama ada dilakukan di rumah, tempat kerja atau pusat beli-belah mungkin lebih praktikal dan mampan berbanding bergantung pada stesen pengecasan pantas yang mahal. – AGENSI