KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus memperkasa golongan penggiat seni negara dengan memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak pernah memandang ringan cabaran yang dilalui oleh para seniman, kru produksi, pemuzik, penulis bebas serta penggiat kandungan digital.
“Buktinya, kerajaan telah berjaya membawa Rang Undang-Undang (RUU) Industri Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Negara pada 9 September lalu,” katanya ketika berucap pada Konsert Budi Kasih Malaysia 2025 di sini malam ini.
Menurut beliau, kelulusan itu merupakan detik bersejarah kerana ia memperkukuh perlindungan terhadap pekerja gig termasuk mereka yang terbabit dalam industri seni dan hiburan tanah air.
“Undang-undang ini menjadi asas kepada tadbir urus baharu bagi ekosistem kerja tidak standard agar lebih adil, telus dan berakauntabiliti.
“Pelaksanaan RUU ini adalah payung pelindung daripada eksploitasi kontrak, kelewatan bayaran serta ketiadaan jaringan keselamatan sosial, di samping memberi ruang rundingan yang lebih seimbang antara artis dan penganjur,” jelasnya.
Tambahnya, langkah itu akan memastikan kepentingan semua pihak yang terlibat dalam industri seni terus terjamin.
Sementara itu, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan artis, khususnya golongan veteran yang pernah mencipta nama dalam industri seni tanah air.
Katanya, Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) telah memainkan peranan penting dalam membantu lebih 2,000 artis sepanjang 13 tahun penubuhannya.
“Usaha yang dilakukan oleh tokoh seperti Datuk DJ Dave amat wajar diberikan penghargaan kerana beliau bukan sahaja melontarkan kata-kata, malah melaksanakannya dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan artis veteran tanah air, ahli politik serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni dan budaya. – KOSMO! ONLINE