fbpx
Azmi menerima tabik hormat daripada lintas hormat aset-aset Pasukan Polis Marin, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Rampasan penyeludupan cecah RM6 bilion, e-waste paling tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan rampasan barangan penyeludupan bernilai lebih RM6 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, daripada jumlah itu, rampasan tertinggi melibatkan barangan sisa elektronik (e-waste) yang mencecah lebih RM4 bilion.

“Jabatan Alam Sekitar telah memberi lesen kepada 156 syarikat untuk menguruskan e-waste dalam negara, namun kemasukan sisa elektronik dari luar tetap berlaku.

“Pihak polis mengambil inisiatif dengan langkah pencegahan berkesan bagi mengekang kemasukan e-waste ini dan kita tidak akan berhenti memastikan undang-undang negara dipatuhi,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Peringatan Hari Ulangtahun ke-78 Pasukan Polis Marin di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pulau Indah, di sini hari ini.

Tegasnya, tindakan tegas akan diteruskan terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang berkaitan urusan perdagangan atau perniagaan.

Katanya, PDRM komited memastikan kawalan sempadan dipertingkatkan selain bekerjasama rapat dengan agensi lain bagi mengelakkan Malaysia dijadikan lokasi transit atau pembuangan e-waste dari luar.

“Bagi negeri Kelantan, kawalan sempadan dilaksanakan dengan penglibatan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Marin dan kadangkala Pasukan Gerakan Udara.

“Selain itu, Polis di Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak juga mempertingkatkan rondaan di sempadan masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai pangkalan haram di Kelantan khususnya di Sungai Golok yang akan dirobohkan pada bulan ini, kata Azmi, aktiviti penyeludupan bukan sahaja berlaku di lokaliti tersebut.

“Tetapi terdapat juga di sepanjang persisiran pantai sempadan negara. Ada yang digunakan secara sah dan ada juga yang menyalahi undang-undang. Kesemua ini turut menjadi perhatian kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI