BARCELONA – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memuji prestasi luar biasa pasukan untuk bangkit melakar kemenangan 2-1 ke atas Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Lluis Companys Olympic itu, misi tuan rumah untuk meraih tiga mata tidak kesampaian selepas PSG yang juga juara Eropah musim lalu bangkit daripada ketinggalan dengan meraih gol minit akhir menerusi Goncalo Ramos.
Kata Enrique, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain adalah bukti pasukannya masih belum hilang sengat dan sedia untuk pertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim ini.
“Ini adalah perlawanan yang sukar kerana kedua-dua pasukan cuba untuk menerapkan permainan positif dan ia sangat menarik untuk disaksikan. Barcelona ada pemain berkualiti dan kami melakukan kesilapan pada awal saingan.
“Namun, kami dapat mempamerkan aksi yang lebih berkualiti pada babak kedua sekali gus merealisasikan misi untuk meraih tiga mata berharga di tempat lawan,” katanya.
Sementara itu, Enrique turut memuji impak beberapa pemain muda termasuk Senny Mayulu yang berjaya meledak gol selepas beberapa pemain utama seperti Ousmane Dembele, Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia disisihkan kerana kecederaan.
“Mayulu seorang pemain muda yang berbakat besar dan dia telah buktikan keupayaan untuk beraksi di peringkat tertinggi kali ini. Kami bertuah dia dapat menyumbangkan sesuatu buat pasukan,” katanya. – AGENSI