LUMUT – Pemilik dan penghuni Apartmen Bukit Permata, Lumut, kini boleh menarik nafas lega apabila masalah lif yang menghantui mereka sejak kira-kira 10 tahun lalu, bakal selesai awal tahun depan.
Ia kerana Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan peruntukan RM6.24 juta bagi mengganti dan menaik taraf semua 14 unit lif di 10 blok kediaman pangsapuri tersebut.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Muhammad Faizal Shah Safian Suri, berkata projek penyelenggaraan Lif Madani di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) itu sedang dilaksanakan dijangka siap Mac tahun depan.
“Daripada 14 lif yang ada, separuh daripadanya tidak boleh digunakan sehingga ada penghuninya yang terpaksa menggunakan tangga bagi kediaman tujuh tingkat itu sejak kira-kira 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di apartmen tersebut, lewat petang semalam.
Muhammad Faizal Shah berharap projek itu dapat siap lebih awal daripada sasaran kerana percaya ia akan membolehkan lebih ramai pemilik akan kembali menginap di situ.
Ketika ini, katanya, ramai pemilik rumah kos sederhana tiga bilik itu menginap di tempat lain disebabkan masalah lif itu.
Beliau berkata, ia dibuktikan apabila hanya 589 unit didiami manakala 1,046 unit khususnya di tingkat atas tidak didiami.- KOSMO! ONLINE