KUALA LUMPUR – Perjuangan seni bukan sekadar bernyanyi, berlakon atau berkarya di pentas hiburan, sebaliknya ia juga merupakan suara keberanian, kebenaran dan maruah manusia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai anak seni tanah air tampil berani menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas walaupun berdepan dengan sekatan dan tekanan, malah ada yang ditahan hanya kerana bersuara.
“Antaranya ialah Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan ramai lagi yang berani tampil menyatakan pendirian. Ini bukti bahawa seni tidak pernah mati sebagai perjuangan.
“Seniman bukan sekadar penghibur, tetapi juga pejuang yang menegakkan nilai kemanusiaan, menolak kezaliman dan mengangkat panji kebenaran di mata dunia,” katanya ketika berucap pada Konsert Budi Kasih Malaysia 2025 di sini malam ini.
Tambahnya, konsert berkenaan menjadi lambang bahawa seni bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya wahana perjuangan yang menyatukan bangsa, menggerakkan masyarakat serta membela golongan yang tertindas. — KOSMO! ONLINE