BANGKOK – Seorang majikan wanita didakwa menyiram air mendidih ke atas pekerja perempuannya selepas mengetahui dia menjalin hubungan romantik dengan abang penyerang berkenaan di Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Serangan mengejutkan terhadap mangsa berusia 22 tahun itu menarik perhatian umum secara meluas selepas seorang pesohor media sosial berkongsi kes tersebut di laman Facebooknya, Ban Hia Charn Oui Ubon.
Dia memuat naik gambar mangsa yang menunjukkan tangan, lengan dan lehernya berbalut akibat kecederaan melecur teruk.
Kakak mangsa berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) pada Isnin lalu di sebuah kedai motosikal di wilayah Ubon Ratchathani.
Stesen televisyen Channel 7 melaporkan bahawa penyerang tersebut, ditemani bapanya, kemudian menyerah diri di balai polis.
Dia telah didakwa atas tuduhan serangan fizikal yang menyebabkan kecederaan serius, satu kesalahan yang boleh dihukum penjara enam bulan hingga 10 tahun. – AGENSI