fbpx
IZZAT menjadi pelumba terbaik ASEAN bagi peringkat keenam selepas menamatkan perlumbaan dari Shah Alam ke Port Dickson di tempat keempat. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

LTdL 2025: Masalah kesihatan bukan halangan buat Izzat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Beraksi dalam keadaan kurang sihat langsung tidak menghalang pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil masih mampu menampilkan kayuhan terbaik pada peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Pada perlumbaan dari Shah Alam ke Port Dickson hari ini dengan jarak 123.5 kilometer (km), pelumba berusia 30 tahun itu berjaya menamatkan saingan di kedudukan keempat, sekali gus menjadi pelumba terbaik Malaysia bagi peringkat keenam.

Izzat berkata, dia terpaksa mengerah segala kudrat pada perlumbaan itu, terutamanya ketika memasuki kilometer terakhir sebelum melintasi garisan penamat di tempat keempat di belakang Arvid de Kleijn, Erlend Blikra dan Manuel Penalver.

“Tadi saya tengok kilometer terakhir memang agak mencabar kerana ada pembahagi jalan di sebelah kanan. Ia menyebabkan saya terpaksa membrek basikal tetapi kemudian saya masuk semula (dalam kelompok).

“Saya hanya cuba pecut sebaik mungkin walaupun hari ini kurang sihat, ada batuk-batuk. Alhamdulillah sasaran adalah untuk lima terbaik ataupun naik podium tetapi dapat tempat keempat,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Keputusan itu turut menyaksikan Izzat meraih gelaran pelumba terbaik ASEAN peringkat buat kali kedua selepas turut meraihnya pada perlumbaan peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman.

Pada masa sama, pelumba kelahiran Johor itu turut mengakui rasa terkilan tidak dapat menjejakkan kaki ke podium, lebih-lebih sudah hampir untuk melakukannya, namun gagal mengatasi tiga pelumba di hadapan.

“Memang rasa geram kerana saya sudah buat yang terbaik, memang habis-habisan. Pada 200 meter terakhir, saya di kedudukan keenam tetapi saya tetap mengejar dan akhirnya dapat tempat keempat,” ujar Izzat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI