BANTING – Pendahulu jersi oren selaku Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, Matteo Malucelli terpaksa akur gagal menamatkan perlumbaan peringkat keenam hari ini.
Pada perlumbaan dari Shah Alam ke Port Dickson yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat, pelumba pasukan XDS Astana itu terpaksa menarik diri ketika berada di kilometer 16.5.
Ia gara-gara dia terlibat dalam kemalangan bersama beberapa pelumba termasuk pelumba pasukan Uno-X Mobility, Erland Blikra, namun pelumba Norway itu kembali meneruskan perlumbaan.
Justeru, perjuangan Malucelli boleh dianggap sudah berakhir dan dia dijangka tidak akan menyertai dua lagi baki perlumbaan selepas ini selain mungkin terlepas jersi oren.
Sebagai rekod, pelumba Itali itu merupakan penyandang jersi oren bagi saingan tahun lalu selain sudah memenangi tiga peringkat perlumbaan musim ini di Langkawi, Pasir Puteh dan Kemaman.
Turut tersingkir daripada perlumbaan adalah pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy selepas dia juga terlibat dalam kemalangan berasingan. – KOSMO! ONLINE