PORT DICKSON – Pengarah Sukan XDS Astana, Mark Renshaw mengesahkan pelumba utama, Matteo Malucelli tidak akan meneruskan saingan dalam dua baki perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menarik diri.
Ia susulan kemalangan yang dihadapi penyandang jersi oren selaku Raja Pecut LTdL itu pada perlumbaan peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson hari ini ketika sedang melalui kilometer 16.5.
Renshaw berkata, ketiadaan Malucelli merupakan kehilangan cukup besar buat pasukan yang berpangkalan di Kazakhstan itu memandangkan dia sedang mendahului kategori Raja Pecut sebelum kemalangan berlaku.
“Dia (Malucelli) 100 peratus tidak akan berlumba esok. Sangat malang kerana dia terlibat dalam kemalangan besar membabitkan beberapa pelumba pada awal perlumbaan sehingga menyebabkan kecederaan pada kaki kiri.
“Sudah tentu ia satu kehilangan yang sangat besar kerana Matteo merupakan pelumba pecut terpantas di sini (LTdL). Dia sudah membuktikan kehebatannya dalam tiga peringkat awal sebelum ini,” katanya.
Insiden tersebut menyaksikan pelumba Itali itu tidak akan meneruskan saingan selain statusnya sebagai pendahulu jersi oren sudah diambil alih pelumba pasukan Uno-X Mobility, Erlend Blikra.
Sementara itu, Renshaw menjelaskan, perjuangan Malucelli untuk mengekalkan jersi oren sudah berakhir memandangkan sebarang pungutan mata tidak akan dikira jika pelumba gagal menamatkan perlumbaan.
“Mata itu tidak boleh dibawa ke hadapan. Sekarang dia sudah pun menamatkan perlumbaan dan jersi oren itu akan beralih kepada orang lain. Inilah hakikat dalam sukan berbasikal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE