fbpx
Pemain TFC meraikan kemenangan 4-1 terhadap Kelantan TRW pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

Liga Super: TFC mudah benam Kelantan TRW 4-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) mudah membenam Kelantan The Real Warriors (TRW FC) 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan dalam derbi Pantai Timur itu membolehkan skuad Sang Penyu terus kekal dalam kelompok tiga teratas Liga Super manakala TRW pula terpaksa akur dengan kekalahan ketiga musim ini.

Skuad tuan rumah bimbingan Badrul Afzan Razali berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-22 menerusi pertahanan import, Diego Landis yang melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Azfar Arif Mohd Sukri.

Gol itu menyuntik keyakinan buat Sang Penyu apabila tujuh minit kemudian giliran Tukhtasinov sendiri mencatat nama sebagai penjaring kedua apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti menerjang gawang TRW.

Giliran Yann Mabella pula menambah derita TRW selepas bijak menyambar hantaran lintang Azam Azmi Murad untuk kedudukan selesa 3-0 lima minit sebelum tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, TRW cuba bangkit dengan melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan T. Saravanan dan penjaga gol import mereka, Damyanov Damyan.

Usaha itu akhirnya berhasil pada minit ke-51 apabila Saravanan meledak rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Suhaimi Husin bagi gol saguhati pelawat.

Tuan rumah bagaimanapun menambah jaringan keempat pada minit ke-72 apabila Yann Mabella melepaskan rembatan kencang selepas menerima hantaran lintang kemas daripada Azam Azmi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI