BERSEMPENA Hari Belia Negara (HBN) 2025 baru-baru ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan sebuah konvensyen.
Ia dinamakan Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK) yang mengetengahkan segmen Citra Wanita dengan tajuk Membina Masa Depan Dalam Era Ketidakpastian.
Naib Presiden MBM, Asya Rahman berkata, program yang diadakan di ibu negara itu menampilkan sesi wacana inspirasi bersama dua panel wanita berpengaruh iaitu penyampai berita Letchumie Sandraj dan selebriti, Didi Astillah.
“Kehadiran mereka pada konvensyen tersebut bertujuan berkongsi pengalaman dan pandangan serta mengupas mengenai peranan wanita dalam dunia profesional serta sosial.
“Pada masa sama, program turut diselitkan dengan pendedahan asas penggunaan aplikasi ChatGPT dan penguasaan serta kepentingan kecergasan buatan (AI) dalam kehidupan wanita masa kini.
“Ia termasuk peranan AI sebagai alat bantu dalam pembelajaran, pembangunan kerjaya wanita dan pengurusan kendiri dalam kalangan beliawanis,” katanya kepada K-Wanita.
Tambahnya, segmen Citra Wanita itu menjadi medan khas menyentuh terus isu wanita muda daripada pelbagai sudut seperti keresahan kewangan, tekanan sosial dan realiti sebenar membina kehidupan selepas usia 25 ke 35 tahun.
Bagi Letchumi, dia terharu dipilih MBM sebagai salah seorang panel, sekali gus menjadi suara yang mewakili wanita muda hari ini.
Menurutnya, ia lebih istimewa apabila jemputan itu hadir bukan disebabkan statusnya sebagai bekas pramugari, pelakon, penyampai radio dan penyampai berita, tetapi kerana kisah jatuh bangun dirinya yang dekat dengan realiti ramai beliawanis.
“Itu membuatkan saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi supaya pengalaman saya boleh jadi semangat buat wanita muda lain yang masih mencari arah.
“Dalam konvensyen ini, saya turut menceritakan perjalanan hidup saya sendiri yang penuh dengan percubaan.
“Daripada seorang pramugari, pelakon, penyampai radio, penyampai berita sehinggalah terjun ke dunia bisnes.
“Tiga kali saya cuba dalam perniagaan akhirnya saya mengalah dan berserah kepada takdir, namun saya tekankan bahawa kejayaan tidak datang sekelip mata.
“Gagal itu perkara biasa, tetapi keberanian untuk bangkit semula itulah yang menjadikan kita lebih kuat,” katanya.
Menerusi perkongsian, Letchumi atau lebih dikenali sebagai Cumi turut bersetuju mengenai hakikat kehidupan seorang wanita dan cabaran sebenar hanya akan bermula ketika menginjak usia 30 tahun.
Jelasnya, bila masuk umur 30an, itu adlaah titik di mana turning point dalam kehidupan wanita berlaku.
“Bila masuk fasa itu, tanggungjawab bertambah. Ia dari semua sudut termasuk soal kerjaya, kewangan, tekanan sosial malah keluarga juga.
“Bagi saya sendiri, banyak perkara baharu terbuka dan terjadi selepas 30 tahun, termasuk keberanian buat pilihan yang lebih matang.
“Inilah usia yang mengajar saya jangan bergantung kepada pengiktirafan orang lain, tapi yakin pada diri sendiri.
“Berdiri di atas bakat sendiri dan berani mengambil keputusan sendiri dalam segala hal,” katanya.
Menuutup wacana, Cumi yang kini berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan wanita serta belia turut berkongsi mengenai kepentingan AI kepada wanita masa kini.
Baginya, AI merupakan satu peluang besar terutama untuk wanita dan boleh bantu manusia dari segi kerjaya, bisnes, pendidikan malah urus masa harian.
“Contohnya, saya gunakan AI untuk rancang content (kandungan), tambah ilmu dan mudahkan kerja terutama dalam penulisan skrip saya dan rekaan kreatif.
“Dengan teknologi ini, wanita boleh lebih yakin untuk ke hadapan walaupun dunia sekarang sangat kompetitif dan manfaatkan teknologi tersebut sebaiknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE