KUALA LUMPUR – Perlindungan sosial kepada golongan suri rumah disifatkan sebagai salah satu pencapaian besar reformasi kerajaan dalam membela nasib rakyat.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha melindungi golongan suri rumah melalui skim keselamatan sosial serta skim pencen suri rumah membuktikan kerajaan serius dalam melaksanakan agenda reformasi yang inklusif.
Beliau mendedahkan, isu itu pernah dibangkitkannya pada tahun 2013 ketika menjadi Ahli Parlimen pembangkang, namun hanya dapat direalisasikan selepas lebih sedekad apabila kerajaan hari ini melaksanakan dasar berkenaan.
“Pada 2013, ucapan sulung saya di Parlimen adalah mendesak kerajaan ketika itu memberi perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah.
“Selepas 10 tahun, kini suri rumah akhirnya mendapat perlindungan, malah turut dilengkapi skim pencen khas di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Sosial Dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Steven berkata, melalui skim tersebut, suri rumah yang mengalami kemalangan semasa melakukan kerja di rumah akan dilindungi oleh insurans keselamatan sosial.
Katanya, inisiatif itu menunjukkan pengorbanan suri rumah dalam pembangunan negara tidak lagi dipandang remeh, malah dihargai sebagai tulang belakang keluarga dan masyarakat.
“Walaupun sumbangan suri rumah tidak dikira dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan mengiktiraf kepentingan mereka dengan memberi perlindungan menyeluruh.
“Ini adalah bukti nyata bagaimana reformasi kerajaan diterjemahkan dalam bentuk dasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau menambah, langkah itu juga selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem perlindungan sosial negara terus diperluaskan kepada semua golongan termasuk yang sebelum ini tidak pernah diberi perhatian.-KOSMO! ONLINE