LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta langsung tidak risau dengan prestasi Viktor Gyokeres yang masih gagal meledak jaringan ketika pasukan menang 2-0 ke atas Olympiakos dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Emirates itu, The Gunners berjaya meraih tiga mata untuk mengekalkan rekod bersih dalam saingan UCL apabila meraih gol hasil penyudah Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka.
Menurut Arteta, penyerang antarabangsa Sweden itu sudah memberikan sumbangan yang cukup memuaskan walaupun gagal mencetak nama selaku penjaring.
Ini adalah perlawanan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan penggempur berusia 27 tahun itu gagal menggegar gawang selepas meledak satu gol ketika menang 3-0 ke atas Nottingham Forest pertengahan bulan lalu.
“Saya sangat gembira dengan prestasi semasa Gyokeres kerana dia menjalankan tugas selaku penyerang dengan baik meskipun tidak berjaya menjaringkan gol.
“Kesefahaman di atas padang dan cara dia membuka ruang buat rakan-rakan sepasukan sangat bagus. Saya harap dia dapat kembali menemui sentuhan penyudah tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Arsenal, Martin Zubimendi bangga dengan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan sepasukan walaupun ditentang sengit oleh skuad pelawat.
“Ini adalah perlawanan yang sukar tetapi kami berjaya manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata. Sokongan yang diberikan penyokong menaikkan motivasi pemain bagi memastikan kita mendapat keputusan positif,” katanya. – AGENSI