fbpx
Fadzli bersama peserta dan malim gunung yang menyertai Ekspedisi Kelestarian Trek Gunung Tahan (Merapoh-Kuala Tahan) 2025 di Sungai Relau, Merapoh dekat Lipis semalam.

Fasiliti asas dan talian komunikasi jadi keutamaan di Gunung Tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Keperluan membina fasiliti asas seperti tapak perkhemahan, jambatan gantung, tandas awam serta papan tanda arah di Gunung Tahan dikenal pasti sebagai agenda utama yang bakal diberi perhatian menerusi Ekspedisi Kelestarian Trek Gunung Tahan (Merapoh-Kuala Tahan) 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, isu capaian internet dan sistem komunikasi juga diangkat sebagai antara aspek penting untuk ditambah baik memandangkan kesukaran liputan talian sering menjadi cabaran, khususnya ketika berlaku kecemasan di kawasan hutan tebal.

Katanya, cadangan penambahbaikan tersebut bakal dikemukakan hasil penilaian menyeluruh sepanjang ekspedisi pendakian sejauh 87 kilometer itu.

“Antara yang paling penting kita tengok keperluan yang pertamanya pembinaan tapak perkhemahan, mungkin ada penempatan kabin-kabin tertentu, pembinaan jambatan gantung, pembinaan tandas atau kemudahan lain sehinggalah kepada soal keselamatan papan tanda arah.

“Dalam ekspedisi kajian kelestarian trek ini juga akan diambil kira kemudahan penguat (repeater) dan saya selaku exco yang tugas bertanggungjawab dalam komunikasi dan multimedia akan mengemukakan cadangan ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya sempena Pelepasan Ekspedisi Kelestarian Trek Gunung Tahan (Merapoh-Kuala Tahan) 2025 di Sungai Relau, Merapoh di sini hari ini.

Ekspedisi anjuran Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Rekreasi Pahang itu disertai 54 peserta daripada 20 agensi kerajaan dengan misi menilai keperluan serta mencadangkan penambahbaikan kemudahan sepanjang laluan pendakian.

Pelepasan peserta berlangsung di Sungai Relau, Merapoh itu dengan kehadiran Fadzli yang mengetuai kumpulan kedua melibatkan 26 pendaki, manakala kumpulan pertama seramai 28 orang telah memulakan perjalanan semalam.

Beliau menjelaskan, ekspedisi itu diadakan selaras dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang mahu Gunung Tahan diberi perhatian dari aspek fasiliti agar menjadi tarikan pelancongan utama negeri.

“Gunung Tahan berketinggian 2,187 meter bukan sahaja destinasi pendakian paling mencabar di Semenanjung, malah terkenal dengan keunikan flora, fauna serta laluan sungai yang memukau namun masih kekurangan fasiliti asas.

“Justeru, cadangan konkrit hasil kajian ekspedisi yang dijangka berakhir pada 8 atau 9 Oktober ini akan dipersembahkan kepada baginda untuk tindakan semua pihak berkaitan termasuk Perhilitan, Perhutanan dan Tourism Pahang,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI