fbpx
Peserta menunjukkan beberapa dron yang dipertandingkan dalam Kejohanan Cyberjaya Drone-X di Cyberjaya kelmarin.

AKSADRON platform terbaik cungkil bakat sukan dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA – Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) telah menyusun beberapa perancangan dan program menarik untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan dron di negara ini.

Salah satu daripadanya adalah penganjuran program Reka Fest di Rekascape, Cyberjaya yang dilaksanakan dengan kerjasama ­Futurise Sdn. Bhd. (Futurise) di sini baru-baru ini.

Kejohanan tersebut bukan sahaja dilihat sebagai akti­viti riadah semata-mata, sebaliknya bertujuan untuk mengetengahkan potensi besar sukan dron di Malaysia.

Menerusi penganjuran Cyberjaya Drone-X, tiga acara utama turut dipertandingkan melibatkan perlumbaan dron, bola sepak dron dan cabaran kapal terbang kertas yang terbuka kepada peserta seawal usia 10 hingga 65 tahun.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Shafinaz Salim berkata, matlamat utama kejohanan memberi fokus untuk menjadikan sukan dron sebagai sukan arus perdana di Malaysia.

Katanya, kejohanan itu turut menjadi platform terbaik buat AKSADRON mencungkil bakat baharu yang mempunyai potensi besar untuk dilatih, seterusnya berupaya mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Shafinaz Salim

“Melalui AKSADRON yang menjadi satu-satunya hab latihan bagi sukan dron di Malaysia, kami menyediakan platform untuk latihan, kelas, pameran dan kejohanan yang mampu melahirkan atlet serta jurutera teknologi dron.

“Selain itu, kejohanan ini juga memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi teknologi dron dan membuka peluang untuk bakat tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Dengan ekosistem yang kukuh, kami yakin Malaysia berpotensi menjadi hab pembangunan sukan dan teknologi dron di rantau ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada program Rekascape di sini kelmarin.

Terdahulu, pada program berkenaan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu turut meluangkan masa merasmikan hab latihan AKSADRON yang bakal menjadi medium terbaik melatih bakat baharu dalam sukan terbabit.

Untuk rekod, hab latihan AKSADRON akan menjadi pusat utama bagi sukan dron di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada elemen seperti perlumbaan dron, sukan bola sepak dron berprestasi tinggi, pembangunan bakat dalam teknologi dron selain aktiviti inovasi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Mengulas lanjut, Shafinaz berkata, kejohanan Cyberjaya Drone-X turut menyediakan ruang kepada golongan belia meneroka bidang sukan dron serta memupuk minat mereka terhadap industri teknologi.

“Seperti kejohanan sukan berprestasi tinggi lain, AKSADRON bukan sahaja melahirkan atlet, malah berjaya membentuk juruteknik dan jurutera dalam bidang teknologi dron sejak 2022.

“Selain itu, pemain dilatih melalui program itu juga berjaya meraih kemenangan di kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, seterusnya membuktikan ia mampu menjadi batu loncatan kepada generasi muda untuk menerajui sukan ini,” katanya.

Susulan itu, Shafinaz berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha untuk menganjurkan lebih banyak program berkaitan bagi memupuk minat khususnya dalam generasi muda untuk menyertai sukan dron.

“Sebenarnya, pendedahan yang tinggi perlu dilaksanakan untuk memastikan minat dron mereka boleh diangkat ke peringkat seterusnya dan terus meneroka kehebatan teknologi dron.

“Jadi, kita perlu menunjukkan minat secara berperingkat memandangkan rakyat Malaysia ada yang berani tetapi segan. Maka, kita perlu ke depan untuk memberi pendedahan,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai aspek keselamatan sukan dron, Shafinaz memberitahu, perkara itu terus menjadi keutamaan yang mana kejohanan dianjurkan sentiasa mematuhi peraturan antarabangsa.

Menurutnya, kejohanan dianjurkan pihaknya termasuk Cyberjaya Drone-X turut mendapat pemantauan teknikal daripada Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

“Semua juruterbang kami adalah berdaftar dan telah menjalani latihan ditetapkan. Selain itu, kami mempunyai pasukan teknikal terlatih di lokasi untuk memastikan prosedur keselamatan dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Susulan itu, Shafinaz berkata, Futurise menetapkan sasaran untuk menjadikan kejohanan berkenaan sebagai acara tahunan dan meluaskannya ke peringkat negeri serta kebangsaan.

“Selain itu, dalam jangka masa panjang, kami juga menyasarkan penganjuran kejohanan di peringkat serantau dan antarabangsa agar Malaysia dapat dikenali sebagai hab utama sukan dron.

“Melalui usaha itu, kami berharap dapat melahirkan lebih ramai atlet, juruteknik dan inovator teknologi dron yang mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web, https://www.futurise.com.my/index.php/aksadron-2/. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN