KUALA LUMPUR – Perubahan teknologi digital sejak lebih sedekad lalu telah mengubah cara kerajaan di seluruh dunia menyampaikan perkhidmatan sosial kepada rakyat.
Ketua Keselamatan Maklumat, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Birkin & Barre BVBA Belgium, Sven Hutse berkata, kini kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai tonggak utama dalam meningkatkan sistem keselamatan sosial yang lebih inklusif dan proaktif.
Beliau menjelaskan, daripada sekadar bot pintar yang menjawab soalan 24 jam, AI kini berfungsi mengesan penipuan, mengurangkan ketidakadilan dalam membuat keputusan dan membantu mempercepatkan urusan pengguna.
“Daripada sistem penyampaian manual, kini kita bergerak ke arah teknologi yang lebih pintar.
“Matlamatnya adalah untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial yang bersatu, jelas dan memberi impak besar kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.
Forum lima hari yang berlangsung sehingga 3 Oktober itu menjadikan KL hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial.
Ia dianjurkan oleh International Social Security Association (ISSA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Selain itu, Hutse berkata, teknologi AI dilihat sebagai pemacu baharu yang mampu mengesan penipuan, membantu membuat keputusan yang lebih adil, mempercepatkan proses dan memberi perkhidmatan yang lebih bersifat peribadi.
“Bagaimanapun, penggunaan AI datang bersama cabaran besar iaitu keselamatan data. Dengan wujudnya ancaman seperti penggodam, serangan siber dan perisian tebusan (ransomware), sistem perlu dibina dengan perlindungan berlapis.
“Data rakyat perlu kekal selamat dan boleh dipercayai. Jika tidak, keseluruhan sistem tidak akan berfungsi,” katanya.
Sementara itu, salah seoang panel forum tersebut, Pengarah Perkhidmatan Maklumat KELA, Finland, Arto Vuori berkata, keseluruhan sektor IT kini berkembang pesat, namun sektor awam perlu lebih berhati-hati.
“Justeru, kerjasama dengan rakan teknologi swasta amat penting bagi memastikan penggunaan AI benar-benar sesuai dengan keperluan sosial.
“AI berkembang dengan sangat cepat, jadi sektor swasta sudah jauh ke depan, oleh itu sektor awam perlu berganding bersama dengan yang terbaik, sambil membina kekuatan budaya dalaman,” katanya.
Arto berkata, perubahan budaya dalam organisasi kini menjadi faktor utama kejayaan projek AI lebih penting daripada sekadar teknologi atau perisian baharu.
“Dengan gabungan budaya kerja baharu, data besar dan teknologi AI, Finland kini berada di landasan untuk menyediakan perkhidmatan sosial lebih pintar, pantas dan responsif.
“AI bukan pengganti manusia, sebaliknya AI menyokong manusia membuat keputusan yang lebih baik. Matlamat akhirnya tetap sama iaitu memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Sistem Maklumat Pengurusan Perlindungan Sosial Dataprev Brazil, Rodrigo Ortiz D’Avila Assumpção berkata, data telah muncul sebagai komoditi strategik dalam perebutan kuasa global, sementara teknologi pula menjadi sebahagian daripada konflik geopolitik.
“Sebagai sebuah negara, kita mesti menetapkan pendirian sendiri kerana cabaran ini bukan sesuatu yang akan hilang dalam masa terdekat.
“Sebagai contoh di Brazil, kerajaan telah menandatangani empat kontrak perkhidmatan berasaskan ‘cloud’ dengan syarikat antarabangsa iaitu tiga dari Amerika Syarikat (AS) dan satu dari China, bagi memastikan sistem data negara tidak bergantung hanya kepada satu kuasa besar,” katanya. -KOSMO! ONLINE