fbpx
Gambar hiasan

8 penculik dicekup, tak sempat joli duit tebusan RM29,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Lapan individu termasuk seorang wanita tidak sempat berjoli wang tebusan sebanyak RM29,000 hasil menculik tiga lelaki apabila mereka ditahan dalam enam serbuan berasingan semalam.

Kesemua suspek yang berusia 20 hingga 46 tahun itu diberkas di lokasi berasingan di daerah ini, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat bermula pukul 2 pagi hingga 11 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, kesemua suspek disyaki terlibat menculik dan mengurung ketiga-tiga mangsa di sebuah rumah di Cherang Ruku, Pasir Puteh dekat sini pada 26 September lalu.

Menurutnya, suspek meminta wang tebusan sebanyak RM150,000 daripada majikan lelaki tersebut untuk membebaskan mangsa.

“Susulan daripada kejadian itu, pengadu telah menyerahkan wang tebusan sebanyak RM29,000.

“Serbuan dijalankan di keenam-enam lokasi itu turut merampas merampas sepucuk pistol jenis Revolver, sepucuk pistol tiruan, seutas rantai besi sepanjang 4.7 meter, lima mangga dan kunci.

“Selain itu, 15 buah telefon termasuk lima buah milik mangsa, sebuah kereta jenis Proton Perdana, kereta Audi Q7, sebuah trak pikap Nissan Terrano, pelitup muka, pengikat kabel dan pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan motif penculikan masih dalam siasatan.

Menurutnya, kesemua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dengan ugutan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana sekatan salah, Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan niat salah dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI