BATU PAHAT – Walaupun kejadian angin kuat yang melanda kediaman penduduk di Parit Lapis Mahang, Senggarang di sini hanya berlaku kira-kira 10 saat namun ia amat menggerunkan apabila sebahagian bumbung rumah dicabut dan diterbangkan hampir 50 meter.
Paling teruk terjejas adalah kediaman dihuni Jasni Sapuan, 54, bersama lima ahli keluarganya apabila atap garaj serta bumbung bahagian ruang tamu tercabut hingga menyebabkan berlaku banjir dalam rumah kerana angin datang bersama hujan yang agak lebat petang semalam.
Menurut Jasni, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang bermula dengan hujan renyai-renyai sebelum secara tiba-tiba angin datang dengan kuat bersama gumpalan air hujan.
Melihat keadaan itu, Jasni bersama seorang anaknya bergegas masuk ke dalam rumah untuk mencari perlindungan bersama isteri yang sedang menyediakan makan malam.
“Apabila berada dalam rumah, air hujan dilihat mencurah masuk dan menyebabkan ruang tamu banjir apabila hujan berterusan kira-kira satu jam selepas dibadai ribut.
“Mujur tidak ada melibatkan kecederaan ahli keluarga, walaupun berhadapan kerugian ribuan ringgit untuk membaik pulih kerosakan ini dan ia perlu dilakukan segera kerana hujan hampir setiap hari disini,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Yusla Ismail berkata, pihaknya sudah menyalurkan bantuan kecemasan sebagai langkah awal membantu Jasni dan keluarganya.-KOSMO! ONLINE