KLANG – Suasana penuh meriah menyelubungi bandar diraja ini apabila ribuan rakyat membanjiri laluan utama menyaksikan Perarakan Istiadat Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, hari ini.
Perarakan sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah itu menyaksikan keberangkatan tiba Tengku Amir Shah menaiki kenderaan istana jenis Rolls Royce.
Istiadat turut diserikan dengan iringan kerabat Diraja selain Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat serta paluan kompang oleh kumpulan Istana Diraja Selangor.
Lebih 2,000 rakyat hadir sejak pukul 6.30 pagi memberi sokongan dan berkongsi kegembiraan, sekali gus meraikan detik bersejarah yang julung kali diadakan di negeri ini.
Rakyat yang hadir turut mengibarkan bendera negeri Selangor sepanjang perarakan tersebut.
Istiadat Akad Nikah Diraja dijadual berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada pukul 10 pagi ini. – KOSMO! ONLINE