PETALING JAYA – Penyanyi Haqiem Rusli mengakui status suami yang digalas sejak lima tahun lalu membentuknya menjadi lelaki lebih matang dan bertanggungjawab.
Haqiem atau nama penuhnya Ridzuan Haqiem Rusli, 27, berkata, perkahwinan dengan isteriny, Anis Sofea telah mengikis banyak sikap negatif dalam dirinya sebelum ini.
“Setakat ini, perkahwinan mengajar saya erti kematangan. Bukan nak cakap saya terlalu matang, tetapi perkahwinan ini buang banyak benda negatif dalam hidup saya.
“Mungkin dulu saya ada perangai, contohnya sombong dan sikap toksik orang muda. Selepas kahwin jadi lebih bertanggungjawab,” katanya kepada HibGlam pada sidang media pengumuman Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia menegaskan tidak pernah rasa menyesal mendirikan rumah tangga pada usia muda.
“Tidak menyesal sama sekali.
“Sebab saya percaya itu takdir yang Allah SWT sudah diaturkan,” ujarnya.
Mengulas tentang cahaya mata, dia menyerahkan urusan tersebut kepada Allah.
“Itu tiada jawapan, semua rezeki daripada Dia.
“Kami bukan tak berusaha tetapi jawapan itu pada Allah,” jelasnya.
Terdahulu, Haqiem dengan dua kali lafaz selamat bergelar suami kepada Anis pada 19 November 2021 di Cyberjaya. – KOSMO! ONLINE