SEPANG – Dua kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di zon merah 1 dilihat seakan ‘berlayar’ ke destinasi berhampiran Israel berbanding tujuan utama untuk ke bumi Gaza.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! pada paparan terkini sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara, kapal Vangelis Pissias- Asser et Ayssel bergerak dengan kelajuan 6.6 knot menuju ke destinasi jauh dari pesisir Gaza.
Selain itu, kapal Ahed Tamimi yang berasal dari Greece juga dilihat seakan berlayar menuju ke kawasan lain berkemungkinan menuju ke Israel.
Bagaimanapun, tiada sukarelawan Malaysia yang dilaporkan berada di dalam kedua-dua kapal berkenaan.
Jika diimbas, satu kawasan di Ashdod yang terletak di pesisir pantai Israel menjadi lokasi utama menahan dan menurunkan aktivis flotilla sebelum proses soal siasat, tahanan sementara atau deportasi dilaksanakan.
Sebelum ini, kapal Mawi Marmara yang diserang Israel pada 2010 telah dibawa ke Ashdod yang mana menjadi lokasi sukarelawan ditahan serta disoal siasat sebelum ada dihantar pulang.
Selain itu, antara misi lain yang dipintas Israel dan dibawa ke Ashdod ialah Flotilla 2011, Flotilla 2012 dan Women’s Boat to Gaza pada 2016. – KOSMO! ONLINE