fbpx
SYAFIQ (kanan) mendapat pujian selepas bangkit menampilkan prestasi lebih bagus daripada Kejohanan Dunia bulan lalu.

Skuad terjun negara belum hilang taring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD terjun negara cemerlang pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India apabila mengutip lima pingat perak sekali gus memberi isyarat positif menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Kecemerlangan itu disumbangkan penerjun berpengalaman, Muhammad Syafiq Puteh yang menghadiahkan dua perak menerusi acara 1 meter (m) papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama bersama gandingannya, Elvis Priestly Clement.

Nur Eilisha Rania Abrar Raj berada dalam kelas tersendiri apabila menyumbangkan dua lagi pingat perak dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Ong Ker Ying dan 10m platform seirama ketika berganding dengan Nurul Farisya Alia Affendi.

Satu lagi perak disumbangkan oleh Bertrand Rhodict-Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Pengarah Teknikal Terjun Negara, Datuk Yeoh Ken Nee menyifatkan prestasi Syafiq sebagai kebangkitan meyakinkan selepas gagal menyerlah di Kejohanan Dunia bulan lalu.

“Kali ini dia tampil lebih stabil dan berkeyakinan. Ini langkah positif yang memberi suntikan semangat menjelang Sukan SEA. Dia nampak lebih tajam sekarang dan jika momentum ini berterusan, peluangnya untuk menyumbang pingat cerah,” katanya.

Ken Nee menegaskan kejayaan Syafiq tidak hanya membuktikan pengalaman masih menjadi aset penting pasukan, malah gandingannya bersama Elvis membuka ruang ke arah pembentukan kombinasi mantap.

“Elvis masih muda tetapi punya potensi besar. Bersama Syafiq, mereka memberi keseimbangan antara pengalaman dan bakat muda. Dengan lebih masa, saya percaya mereka mampu menjadi pasangan kukuh,” ujarnya.

Sementara itu, kepulangan Ker Ying selepas berehat panjang akibat kecederaan turut membawa sinar baharu apabila persembahannya bersama Eilisha jelas bertenaga.

“Ini kali pertama mereka bergandingan dan ia satu permulaan yang sangat meyakinkan. Mereka saling melengkapi dan ada banyak potensi untuk digilap,” jelas Ken Nee.

Bagi Ken Nee, lima perak yang dikutip setakat hari kedua bukan sekadar permulaan manis, malah membuktikan skuad negara berada di landasan tepat.

Pencapaian tersebut menjadi suntikan semangat terbaik buat kontinjen yang bakal mengharungi cabaran lebih getir di pentas Sukan SEA Thailand, sekali gus menandakan skuad terjun negara belum kehilangan taring. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN