SHAH ALAM – Polis masih menunggu laporan pakar berhubung kemalangan maut yang mengorbankan seorang bayi dan mencederakan tujuh mangsa dalam insiden di Plaza Tol Bukit Kajang, dekat sini, Sabtu lalu sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP), namun dikembalikan dengan arahan mendapatkan laporan teknikal sebelum arahan khusus diberikan DPP.
“Ini disebabkan libatkan agensi bersifat teknikal untuk memberikan laporan akhir sebelum laporan pertuduhan atau sebaliknya dilaksanakan.
“Suspek telah diberikan jaminan dulu sementara polis melengkapkan siasatan dan mendapatkan laporan-laporan pakar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Shazeli berkata, polis juga telah merakam keterangan daripada semua pihak berkepentingan bagi membantu siasatan.
“Kami cuma menunggu laporan pakar bagi melengkapkan keseluruhan siasatan,” tegasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah lori yang mempunyai masalah brek dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi, 27 September lalu.
Pemandu lori berusia 42 tahun itu mengaku melompat keluar dari kenderaan berat sebelum nahas tragik tersebut.
Semalam, Kosmo! turut melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melengkapkan laporan siasatan kes tersebut termasuk semakan semula Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat pengendali lori terbabit.
Dokumen berkenaan akan dihantar kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada semalam bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE